Sebagai manusia, kita semua bertanggungjawab untuk saling membantu, lebih-lebih lagi kepada mereka yang kurang bernasib baik. Konsep memberi bukan sahaja membina hubungan kemanusiaan yang lebih erat, tetapi juga memastikan kesejahteraan bersama dalam masyarakat.

Dalam usaha meringankan beban mereka yang memerlukan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus komited menyalurkan zakat dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.  

Pada tahun 2024, TNB telah mengagihkan zakat sebanyak RM33 juta, membuktikan usaha berterusan syarikat dalam menyokong kesejahteraan sosial dan pembangunan negara.

Dari syarikat ke masyarakat

TNB menyalurkan zakat melalui dua kaedah utama iaitu Zakat Perniagaan dan Zakat Wakalah. Zakat Perniagaan adalah zakat yang diberikan oleh TNB kepada Majlis Agama Islam Negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf. Pengagihan dilakukan berdasarkan komposisi berikut:

  • 70% untuk golongan fakir miskin
  • 30% untuk golongan fisabilillah

Sementara itu, Zakat Wakalah adalah zakat yang diterima semula oleh TNB daripada Majlis Agama Islam Negeri dan diagihkan terus kepada penerima manfaat yang telah dikenal pasti melalui pelbagai inisiatif termasuk:

  • Program Baiti Jannati: Membantu keluarga yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.
  • Ceria Ke Sekolah: Menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg, dan alat tulis kepada pelajar daripada keluarga asnaf. 
  • Bantuan keperluan asas dan pembangunan komuniti kepada golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan daripada kerajaan negeri.

Menurut Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Bin Abdul Majid:

“Sumbangan zakat adalah kewajipan syariah yang kami tunaikan dengan penuh keprihatinan. Ia mencerminkan komitmen kami untuk berkongsi kejayaan dengan masyarakat dan memastikan bantuan ini memberi manfaat menyeluruh kepada golongan asnaf.”

Komitmen TNB dalam pembangunan masyarakat

Bukan sekadar zakat, TNB juga aktif dalam pelbagai inisiatif CSR yang melibatkan pendidikan, sukan, komuniti dan kelestarian alam sekitar dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM140.9 juta pada tahun 2024.

1. Pendidikan

  • Yayasan Tenaga Nasional menaja 1,582 pelajar dengan pelaburan RM42.6 juta.
  • Baiti Jannati telah membina dan membaik pulih 817 rumah sejak 2018, memberi manfaat kepada lebih 4,000 individu.

2. Sukan

  • RM6 juta disalurkan untuk menaja Konfederasi Hoki Malaysia dan membangunkan TNB Thunderbolts serta Klinik Hoki bagi mencungkil bakat baharu.

3. Kelestarian

  • Februari lalu, TNB memasang sistem panel solar 25 kWp di sebuah sekolah agama negeri untuk mengurangkan kos tenaga dan menyokong tenaga boleh baharu dan pembangunan mampan dalam pendidikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Bin Megat Hassan berkata:

“Di TNB, kami percaya bahawa peranan kami melangkaui penyediaan bekalan elektrik. Sumbangan zakat merupakan satu kewajipan yang dilaksanakan oleh syarikat untuk membantu kumpulan komuniti yang memerlukan.”

TNB terus komited dalam membantu masyarakat

Komitmen TNB ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyokong usaha pembangunan yang inklusif dan lestari.

Melalui inisiatif dan pelbagai program CSR lain, TNB terus memainkan peranan penting dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Jom sokong usaha TNB dalam menjadikan Malaysia lebih baik!