
Seorang wanita berusia 26 tahun mengalami kecederaan melecur teruk selepas rumahnya dipercayai dibakar oleh seorang lelaki yang berang kerana cintanya ditolak.
Artikel Berkaitan: Nonny Nadirah Tolak Lamaran Jadi Isteri – ‘Saya Bukan Calon Yang Sesuai’
Dibakar sebab tolak cinta
Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah kampung di daerah Bisra, Sundargarh, Odisha, India pada Jumaat lalu.
Menurut siasatan awal polis, suspek didakwa menyimpan perasaan terhadap mangsa dan bertindak nekad selepas lamaran perkahwinannya ditolak.
Ketika kejadian, mangsa sedang tidur di dalam bilik sebelum suspek dipercayai menyimbah petrol melalui tingkap rumah dan kemudian membakar premis berkenaan dengan niat untuk mencederakan serta membunuh mangsa.
Bapa mangsa, Jena Toppo berkata, isteri adiknya sempat melihat suspek yang dikenali sebagai Rajat Kiro berada berhampiran tingkap rumah beberapa ketika sebelum api marak.
Sejak lamarannya ditolak, dia terus mengganggu anak saya. Mujur jeritan anak saya didengari sehingga membolehkan dia diselamatkan.
Bagaimanapun, kira-kira 40 peratus badannya melecur dan kini dia sedang menerima rawatan dalam keadaan kritikal.
Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan suspek bagi membantu siasatan, manakala kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian