Penyanyi, Syasya Rizal menegur segelintir netizen yang mempertikaikan keputusannya kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas memilih untuk berhijab.

Artikel Berkaitan: ‘Hidup Ini Terlalu Singkat Untuk Puaskan Hati Semua Orang’ – Syasya Rizal

Keputusan berhijab

Menerusi hantaran di Threads, Syasya, 25, berkata berhijab merupakan satu keputusan besar dilakukan oleh dirinya kerana dia melalui proses yang panjang sebelum benar yakin untuk menutup aurat.

Mungkin bagi sesetengah orang itu kelihatan perkara kecil, tetapi bagi saya, itu merupakan satu langkah yang besar. Saya mengambil masa berbulan-bulan, disertai usaha, doa dan keyakinan sebelum akhirnya mula berhijab.

Jadi, tolong jangan memperkecilkan perjalanan seseorang dengan komen seperti, ‘Tak lama lagi cabut tudunglah tu.’ Sebaliknya, doakanlah yang baik-baik.

Tambah bekas anggota kumpulan Dolla itu, setiap individu mempunyai perjalanan dan ujian hidup yang berbeza, justeru tidak wajar untuk membandingkan perjuangan seseorang dengan orang lain.

Apa yang kelihatan mudah bagi kita mungkin sebenarnya satu perjuangan besar bagi orang lain. Setiap daripada kita diuji dengan perkara yang berbeza dalam kehidupan.

Tidak perlulah membandingkan perjuangan sehingga merasakan perjuangan sendiri lebih besar daripada orang lain.

Pada akhirnya, saya hanya sedang berusaha untuk menjadi lebih baik daripada diri saya semalam, dan itu sudah memadai buat saya.

Terdahulu, Syasya dikecam hebat selepas melancarkan lagu terbaharunya berjudul Different apabila ada segelintir netizen yang menganggap dia sudah tidak mahu bergiat aktif dalam bidang seni selepas berhijab dan berkahwin.

Sumber: Threads