Fenomena soalan ‘panas’ ketika raya tidak lagi asing apabila hampir setiap individu pernah alami sama ada dari segi karier mahupun hubungan istimewa.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Tak Pernah Tinggal, Shahida Wajibkan Anak Ikut Ziarah Raya – ‘Nak Biasakan Mereka Bergaul’

Artikel Berkaitan: Achey Kongsi Ragam Tiara Enggan Pakai Baju Raya – ‘Pakaian Dia Lebih 20 Pasang..Tak Apalah Yang Penting Awak Gembira’

Soalan sensitif raya

Soalan yang dianggap biasa sebenarnya boleh menimbulkan rasa kurang selesa, stres dan kadang-kadang sakit hati setiap kali pulang sambut beraya di kampung halaman.

Antara soalan yang kerap diajukan adalah:

  • Bila nak kahwin?

Memetik laporan Kompas, perkahwinan merupakan soalan yang kerap kali diajukan kepada individu yang masih berstatus bujang.

Kebanyakan terganggu secara emosi terutamanya bagi mereka dalam proses penyembuhan selepas putus cinta, belum menemui pasangan, atau mempunyai keutamaan hidup lain yang belum difahami oleh keluarga.

Soalan sedemikian boleh menyebabkan tekanan mental yang serius.

Pakar psikiatri merujuknya sebagai satu bentuk interaksi sosial yang tidak diingini serta boleh mencetuskan perasaan tidak selamat dan juga kemurungan, terutamanya apabila jangkaan sosial tidak sejajar dengan keadaan sebenar seseorang individu.

Lebih teruk lagi apabila dibandingkan dengan rakan sebaya yang sudah berkahwin atau mempunyai anak.

  • Bila nak ada anak?

Selain itu, pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga, kerap kali menerima soalan sensitif tentang zuriat yang dilontarkan oleh saudara-mara semasa raya atau rumah terbuka.

Justeru itu, kebanyakan pasangan lebih cenderung kepada rasa tertekan atau kurang selesa, terutamanya bagi mereka yang masih berusaha.

Persoalan ini boleh membuka luka lama atau mencetuskan perasaan gagal, terutama ditekan untuk segera mendapatkan zuriat selepas berkahwin.

Ini diburukkan lagi dengan norma sosial yang masih menilai kejayaan sesebuah perkahwinan dengan kehadiran zuriat, tanpa mengambil kira aspek emosi dan perubatan pasangan tersebut.

  • Karier

Menurut tinjauan Kompas, 19.3 peratus individu tidak selesa apabila diajukan soalan mengenai karier sekali gus dianggap sebagai antara soalan yang ingin dielakkan.

Ketidakpastian ekonomi, pemberhentian kerja, dan pasaran pekerjaan yang agak sukar menjadikan soalan ini lebih sensitif.

Malah, kebanyakan individu menggambarkan seolah-olah nilai diri mereka diukur dengan jenis pekerjaan.

  • Kenapa makin kurus/gemuk?

Selain pasangan, individu juga sering menjadi sasaran apabila muncul soalan tentang fizikal yang semakin surut atau sebaliknya.

Soalan yang sekadar dianggap sebagai pembuka bicara ini sebenarnya boleh menyinggung perasaan individu terutamanya apabila berkait rapat tentang perubahan fizikal.

Orang ramai tidak sedar bahawa komen tentang penampilan fizikal boleh memberi kesan jangka panjang kepada imej diri seseorang.

Lebih-lebih lagi dalam suasana hari raya yang sepatutnya penuh dengan kasih sayang, komen seperti ini boleh merosakkan mood dan membuatkan tidak mahu berjumpa lagi di masa hadapan.

Soalan-soalan sensitif seperti kahwin, anak, kerjaya atau fizikal ternyata boleh membuatkan rata-rata individu tersinggung atau menimbulkan tekanan emosi.

Bagaimanapun, penting untuk setiap individu menjawab dengan tenang, sopan, dan selitkan bahan jenaka untuk mengalihkan perhatian.

Silaturahim sepatutnya menjadi ruang untuk saling menghargai, bukannya menilai supaya setiap momen raya dapat diraikan dengan penuh kasih sayang, ketenangan, dan kegembiraan.

Sumber: Kompas