Pelakon Trisha Ooi bakal menyertai perlawanan tinju profesional pertamanya, All Star Championship Dubai Edition yang akan berlangsung di Dubai pada 3 Mei ini.

Artikel Berkaitan: ‘Raya Tahun Ini Masih Single Ke?’ – Trisha Ooi Dah Sedia Jawab Soalan Jodoh Dari Saudara-Mara

Artikel Berkaitan: Trisha Ooi Sanggup Tindik Kening Demi Watak, Tetap Letak Batas Supaya Tak Keterlaluan – ‘Sebagai Manusia, Kena Ada Limitasi’

Tak beraya

Ketika ditemui OhBulan!, Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 27, mengakui terpaksa menahan diri daripada menikmati juadah hari raya demi mengekalkan berat badan yang ditetapkan sebagai peninju.

Kata Trisha, dia tidak sabar untuk perlawanan ini berakhir, bukan sahaja bagi melepaskan segala penat lelah sepanjang latihan, malah untuk kembali menikmati makanan yang terpaksa dielakkan sepanjang tempoh persiapan tinju.

Raya kali ini memang saya tidak makan lemang, rendang atau ketupat demi menjaga berat badan.

Saya anggap ini azam tahun baharu saya.

Balik dari Dubai nanti baru saya akan sambut raya sepuasnya.

Makanan pertama saya nak makan burger dan nasi lemak.

Trisha berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran All Star Influencers Award yang bertempat di Studio 38, Kota Damansara baru-baru ini.

Keputusan untuk sertai sukan tinju

Mengulas lanjut tentang penyertaannya dalam sukan tinju, Trisha akui mahu mengukuhkan namanya dalam industri seni yang bermula daripada pelakon lagak ngeri.

Selain itu, Trisha turut nekad membuktikan kebolehannya bertarung di gelanggang dan bukan sekadar di hadapan kamera.

Ramai yang tahu saya bermula sebagai pelakon lagak ngeri selama enam hingga tujuh tahun sebelum bergelar pelakon.

Tahun ini, sasaran saya adalah untuk mengukuhkan nama sebagai pelakon aksi dengan lebih kuat lagi kerana itulah akar saya dalam industri ini.

Saya benar-benar ingin menunjukkan kemampuan saya bertarung, bukan sahaja di depan kamera tetapi juga di atas gelanggang secara profesional.

Trisha dijadualkan berlepas ke Dubai pada 30 April ini dan akan berada di sana sehingga 5 Mei depan untuk bertarung dengan lawan dari Indonesia, Dinda Anwar.