Seperti ramai yang sudah sedia maklum, kerajaan sudah mewajibkan peraturan pemasangan kerusi keselamatan bayi atau car seat dalam setiap kereta persendirian mulai tahun ini. Peraturan baru itu telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat apabila ada yang bersetuju dengan langkah yang dibuat dan tidak kurang, ramai juga yang membantah. Namun jika diteliti, sememangnya sudah terdapat banyak kes kemalangan membabitkan bayi dan kanak-kanak yang tercampak kerana ketiadaan kerusi keselamatan bayi ini.
Seperti perkongsian yang dibuat seorang individu ini di laman Facebooknya, dia menceritakan pengalamannya ketika merawat pesakit yang telah terlibat dalam kemalangan ngeri beberapa tahun lalu. Apa yang menyedihkan, pesakit yang juga adalah kanak-kanak itu kritikal selepas tercampak kerana tidak dipakaikan car seat mahupun seatbelt ketika kejadian.
Kemalangan teruk
Masa tengok gambar ni tadi, terus Farah terimbau kenangan 10 tahun yang lalu. Zaman bertugas di satu hospital daerah di Terengganu dulu. Hospitalnya terletak di tengah route yang hubungkan Kuala Terengganu dan Kota Bharu. Pemandu memang selalu speeding di area situ. Jadi, kami selalu dapat kes-kes kemalangan jalan raya yang teruk-teruk.
Kes yang paling Farah ingat adalah beberapa hari sebelum hari raya, ada 1 van dan 1 kereta yang bertembung. Salah satunya sekeluarga yang nak balik ke Kelantan. Mangsa semuanya berjumlah lebih kurang 8 orang. Memang havoc Jabatan Kecemasan kami hari tu. Sebab semuanya alami kecederaan parah. Siap kami activate code blue. Terpaksa minta bantuan anggota dari wad supaya sama-sama stabilkan para mangsa.
Ayah patah kedua-dua belah tulang paha dan belakang. Mak tak sedarkan diri dan patah tulang beberapa tempat juga. Yang paling sedih, tengok 2 orang anak kecil berusia lebih kurang 5 tahun dan 2 tahun pun terlibat sama. Mereka dua-dua tak sedarkan diri. Kanak-kanak yang besar sikit cedera teruk di kepala. Sawan non-stop. Berdarah merata-rata. Patah juga tulang paha.
Terkesan lihat si adik
Yang paling terkesan pada Farah bila tengok si adiknya. Tercungap-cungap tak cukup nafas. Tulang rusuk patah teruk dan kedua-dua belah paru-paru bocor. Kami terpaksa bertindak segera masukkan tiub untuk bantu pernafasan, kemudian terpaksa tebuk kedua-dua belah paru-paru dia.
Dulu, untuk budak yang sangat kecil macam ni tak ada set untuk tebuk paru-paru disimpan di hospital daerah. Semuanya saiz yang lebih besar. Jadi, kami terpaksa guna apa sahaja barang yang ada. Asalkan boleh alirkan segera darah dan udara yang terkumpul dalam paru-parunya. Kami masukkan tiub kencing saiz paling kecil.
Time nak tebuk tu memang struggle habis. Sebab badannya halus sangat. Ruang antara tulang rusuk tu pun sangat sempit. Masa kena buat prosedur tu, tak henti-henti Farah berdoa supaya berjaya. Sebab kalau tak menjadi, memang pernafasan budak ni boleh jadi lagi teruk.
Dah setel tebuk paru-paru, tiba-tiba jantungnya pula berhenti. Kami terpaksa CPR kan dia lebih kurang 10 minit. Horror memang horror guys. Dah lah paru-paru cedera parah, kena pula CPR.
Cedera kerana tercampak
Inilah pengalaman yang paling Farah tak boleh lupa selama kerja kat hospital tu. Mereka ni cedera teruk sebab tercampak. Tak dipakaikan seatbelt masa kejadian. Ya lah zaman tu kesedaran tentang car seat untuk kanak-kanak belum meluas. Sangat haru tengok bapa dia. Menangis mengongoi-ngongoi bila dimaklumkan keadaan anak dan isteri. Menyesal tak sudah dan merayu-rayu minta kami selamatkan mereka.
Bayangkan macam mana kami rasa masa tu. Kami tak kuat. Berair juga mata ni walaupun cuba maintain macho depan patient. Tapi alhamdulillah, kami dapat stabilkan semuanya. Hari tu, 2 ambulans hospital dan 2 ambulans klinik kesihatan terdekat konvoi hantar pesakit ni ke hospital besar.
Bila Farah follow-up dengan kawan yang terima kes pesakit ni, alhamdulillah kedua-dua kanak-kanak ni survive. Tapi memang lama lah diorang kat ICU dan hospital.
Jadi, kalau sayangkan anak. Please please letaklah diorang dalam carseat yang proper. Sekarang ni mungkin sesetengah orang boleh melawak dan troll benda ni. Tapi kalau jadi kat anak, adik korang, benda ni takkan jadi satu bahan lucu langsung. Malahan, mungkin inilah penyesalan seumur hidup yang akan ditanggung. Sayangi anak anda. Strap them to the car seat.
Sumber: Facebook Farah Raja Shahruddin