Penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei tampil memberi penjelasan berhubung video tular berkaitan dirinya yang didakwa sudah menghilang.

Artikel Berkaitan: ‘Pergilah Mana Pun Orang Akan Panggil Saya Penyampai Buletin Utama TV3’ – Saiful Nizam Ismail

Penjelasan Pang Chinn Fei

Menerusi hantaran di Instagram, Chinn Fei memuat naik tangkap layar dan pautan video tersebut yang disiarkan di platform YouTube dengan tajuk, ‘Dulu Setia Di Buletin Utama, Kini Kemana Hilangnya Pang Chinn Fei?’.

Semalam saya menerima pautan video ini yang dikongsi oleh rakan saya melalui WhatsApp.

Agak terkejut juga setelah menontonnya kerana ada yang menghasilkan video mengenai saya. 

Saya tidak kenal siapa pemilik Alahai Channel di YouTube yang membuatkan video ini.

Menurut Chinn Fei, terdapat beberapa maklumat yang kurang tepat mengenai dirinya dipaparkan di video berkenaan, selain mendakwa sumber yang diperloleh hanyalah dari internet dan media sosial.

Apapun terima kasih atas ingatan dan sokongan yang diberi walaupun ada sedikit kesilapan dalam maklumat yang diberi dalam video ini.

Saya tidak pernah mengarahkan video ini dibuat dan saya tengok info yang diberi diambil dari Google, Facebook dan artikel yang pernah disiarkan sebelum ini. Ada yang tidak dikemaskini.

Contohnya data yang diambil pada tahun 2011 menyatakan saya mempunyai 3 orang anak walhal yang terkini saya sebenarnya mempunyai 4 orang anak.

Dalam masa yang sama, Chinn Fei menegaskan bahawa dia masih berkhidmat di Media Prima meskipun tidak lagi berada di hadapan televisyen, sekaligus menepis dakwaan dirinya kini menghilang.

Untuk makluman, saya tidak hilang seperti Zalina Azman dan masih bekerja di Media Prima namun kini berada di belakang tabir.

Saya kini menjawat jawatan Editor Video Content Management (VCM) di Unit Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian TV Media Prima dan menjadi mentor kepada penyampai berita baharu.

Meskipun tidak muncul di kaca TV, saya masih bertugas di Media Prima.

Tambah Chinn Fei, dia turut berasa kesal apabila video berkenaan mendapat perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.

Kurang 24 jam video ini dimuat naik di YouTube saya agak terkilan apabila melihat ‘viewers’ yang begitu ramai mencecah hampir 150K dan ‘likes’ yang begitu ramai.

Saya juga berasa terharu dengan ayat-ayat sokongan dan positif yang diberikan netizen.

Namun, ada juga netizen yang membuat dakwaan yang bukan-bukan termasuk pernah mendirikan rumahtangga bersama saya kerana saya merahsiakan identiti suami serta anak-anak saya. Saya anggap itu adalah lawak jenaka semata-mata.

Bagaimanapun, penyampai berita Buletin Utama ini tetap menghargai sokongan daripada warganet.

Saya menghargai segala sokongan dan dorongan yang diberi termasuk komen-komen positif yang diberi oleh netizen melalui pautan video YouTube itu.

Terima kasih sekali lagi atas sokongan dan dorongan anda semua dan masih mengingati saya walaupun sudah lama saya tidak bersiaran.

Saya menghargai semua itu dan semoga kalian diberkati kesihatan yang baik, ceria, panjang umur dan murah rezeki serta memperoleh kejayaan yang diinginkan.

Sumber: Instagram