Stesen TV Alhijrah muncul dengan sebuah program baharu bagi membantu golongan usahawan IKS (Industri Kecil & Sederhana) menjana pendapatan ekonomi iaitu Percuma Jer.
Artikel Berkaitan: 4 Kumpulan Mara Ke Final Pentas Marhaban, Juri Mencari Juara Yang Ada ‘Ketenangan’
Artikel Berkaitan: 10 Tahun Hilangkan Diri Belajar Quran, Shamsul Ghau Ghau Jual 2 Biji Rumah & Habiskan RM300,000 Wang Simpanan
Percuma Jer
Program Percuma Jer bertujuan membantu usahawan tempatan untuk memfokuskan pemasaran produk di kaca televisyen dengan cara memberikan demonstrasi, promosi serta sampel barangan percuma kepada penonton.
Ketua Pegawai Operasi TV Alhijrah, Nadzariah Mohamed berkata, menerusi program Percuma Jer, penonton berpeluang mengurangkan risiko ketidakadilan dan penipuan dalam aktiviti jual beli terutama atas talian.
Jelasnya, penonton akan lebih yakin mengenai sesuatu produk dan mampu membuat keputusan yang tepat selepas mencuba sampel yang diberikan.
Saya percaya, proses pemberian sampel barangan (seperti mana produk yang dijual) secara percuma ini membantu para pembeli untuk membuat pembelian bijak.
Secara tidak langsung, etika Islam dalam jual beli dapat dijaga dan dicapai dan dengan itu, kebajikan pelanggan dan pengguna terjamin dalam kontrak jual beli.
Nadzariah berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Percuma Jer yang berlangsung di Sisik Ikan Bakar, Shah Alam pada Selasa.
Dalam pada itu, Nadzariah berkata semua produk yang dipilih mematuhi syarat dan syariah Islam.
Program Percuma Jer sebenarnya sebuah program yang boleh dikategorikan sebagai tanggungjawab sosial (CSR). Kami kembalikan produk IKS dan SME masuk ke TV Alhijrah supaya mereka boleh memberikan sampel percuma kepada penonton.
Hanya serendah RM1,500 para usahawan boleh bawa masuk produk mereka dan kami akan membantu mempromosikan. Semua produk yang masuk akan ditapis dan kami pastikan mematahui syarat serta syariah.
Sebanyak 30 unit sampel akan diberikan untuk setiap produk bagi setiap kali bersiaran. Program ini bersiaran secara langsung selama satu jam. Akan ada 12 produk untuk setiap episod.
Tidak mengharapkan ROI
Sementara itu, Pengasas Pasak Sdn. Bhd, Tuan Ku Addy Fazly Ku Radin berkata, program Percuma Jer tidak mengharapkan Return Of Investment (ROI) atau pulangan pelaburan.
Program ini yang membezakan dengan program lain, jika program lain mereka memberikan barangan percuma dan kemudian mengharapkan ROI.
Program ini tidak mengharapkan ROI kecuali pahala sahaja. Pelanggan yang terima sampel produk tidak perlu beri feedback, testimoni, follow up dan sebagainya.
Secara amnya program ini adalah CSR (tanggungjawab sosial). Usahawan boleh menggunakan platform ini untuk berikan sampel mereka kepada orang ramai.
Jika orang ramai berminat, mereka akan sebarkan sendiri kebaikan produk itu kepada orang lain tanpa paksaan.
Program Percuma Jer yang bakal bersiaran selama satu jam bermula 1 Februari ini merupakan cetusan idea dua organisasi iaitu TV Alhijrah dan Pasak Sdn. Bhd.
Untuk mendapatkan sampel percuma, penonton perlu memuat turun aplikasi AlHijrah Plus di Apple Apps Store atau Google Play Store, kemudian mereka perlu mengimbas kod QR di televisyen ketika program bersiaran untuk memiliki barangan sampel dikehendaki.
Akhir sekali, pemilik produk akan menghantar barangan sampel tersebut menggunakan syarikat kurier nasional terus kepada alamat penonton.
Dihoskan oleh Hanan Abdul Rahman, Ola Nordin dan Dewita Susila, Percuma Jer bakal menawarkan lebih daripada 400 barangan sampel seperti makanan, produk kecantikan, kesihatan, IT dan banyak lain.