Pelakon, Zul Ariffin dipercayai telah memuat naik video beberapa ‘aksi’ panas dalam sebuah drama yang bakal ditayangkan di TV3 tidak lama lagi. Video tersebut telah mencetuskan kontroversi dan mendapat pelbagai respon yang kurang baik daripada orang ramai.
Berikutan daripada isu tersebut, TV3 telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar berkaitan video petikan drama itu.
Pandang serius dan ambil berat
Menurut Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) mereka memandang serius dan mengambil berat akan suara dan pandangan orang ramai mengenai video dalam petikan adegan daripada drama ‘Perempuan Itu’ yang tular di media sosial.
Adegan yang dipaparkan sememangnya tidak sesuai untuk disiarkan apatah lagi bagi tujuan promosi. Malahan adegan tersebut juga tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pengisian drama-drama tempatan perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) ingin mengingatkan semua pihak yang meliputi produksi dan para pelakon supaya menjadi lebih peka kepada tindak-tanduk yang dilakukan serta menjaga sensitiviti agama dan masyarakat terutamanya dalam menjayakan mana-mana karya.