Bermula tahun hadapan, program berita paling tinggi jumlah tontonannya, Buletin Utama serta semua slot berita TV3 termasuk siaran berbahasa Inggeris, Nightline akan menerima suntikan nafas baharu.
Bertemakan ‘Merakyatkan Berita’, slot buletin TV3 akan mengembalikan format berita dari orang awam untuk orang awam menerusi liputan dan segmen khas, di semua platform siaran iaitu di televisyen dan media sosial.
Kembalikan Aduan Rakyat
Pembaharuan yang akan diperkenalkan termasuk dari segi kandungan, logo, muzik montaj, rekaan studio serta visual latar belakang baharu. Antara kandungan menarik ialah segmen ‘Aduan Rakyat’ yang sangat popular suatu ketika dahulu, akan kembali ke Buletin Utama (BU).
Menurut Pengarang Urusan Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA), Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Manja Ismail, buletin TV3 berwajah baharu akan mula bersiaran tepat jam 12 tengah malam pada 31 Disember 2018, menerusi berita bahasa Inggeris, Nightline.
Program berita harus melaksanakan peranannya untuk menyampaikan maklumat, mendidik dan menghibur. Dengan mengambil kira perubahan yang berlaku di negara kita, wartawan penyiaran kami harus merasai denyut nadi rakyat dan menyampaikan berita yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat umum.
Oleh itu, kami kembalikan Aduan Rakyat, khas untuk orang ramai yang ingin mengajukan aduan mereka ke perhatian pihak berkuasa melalui platform tv atau saluran Youtube, Facebook atau Twitter kami. Selain itu, segmen Apa Khabar YB akan memberi peluang kepada rakyat mengenali lebih dekat pemimpin kerajaan yang baharu.
Orang ramai juga boleh mengemukakan aduan menerusi e-mel [email protected]. Isu yang akan dipaparkan termasuk berkaitan kemudahan awam, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta isu alam sekitar setempat.
Menampilkan wajah baru
TV3 juga menampilkan beberapa wajah baharu sebagai pembaca berita, termasuk beberapa wartawan multimedia (MJ) sebagai pembaca berita tetap dalam slot Buletin Utama, Buletin Pagi, dan Nightline. Antara wajah baharu ialah Nik Munirah, Fatin Hamimah, Ramzan Mohd Saufi, dan Naquia Basharudin.
Selaras dengan hala tuju merakyatkan berita, segmen Detik Niaga juga akan menumpukan kepada laporan mengenai kejayaan usahawan tempatan serta produk unik yang dihasilkan usahawan kecil dan sederhana, selain laporan pasaran dan sektor korporat.
Buletin TV3 diterbitkan oleh gandingan penerbit berpengalaman dan penerbit muda, diterajui oleh empat Penerbit Eksekutif iaitu Badrul Hisham Azmanshah, Mohd Khairizal Gairollah, Noorzati Mohd Arish dan Mior Abdul Malek Raiyani.
Semua buletin TV3 boleh ditonton menerusi platform Youtube dan Tonton sepanjang tahun. Layari xtra.com.my serta laman media sosial Youtube TV3Malaysia dan Buletin TV3 untuk maklumat lanjut tentang perkembangan terkini dan sedutan-sedutan menarik setiap slot berita TV3 seperti Berita Terkini, Buletin Pagi, Buletin 1.30, Bizworld, Detik Niaga, Buletin Utama, dan Nightline.