Akademi Sains Astronomi, Angkasa Lepas dan Teknologi Sharjah (SAASST) melalui balai cerap astronominya mengumumkan penentuan astronomi berkaitan kemunculan anak bulan Syawal 1447 Hijrah yang dijangka berlaku pada Jumaat, 20 Mac 2026.

Artikel Berkaitan: ‘Lagu Raya Tak Perlu Terlalu Kreatif & Bersaing Dengan Trend Sekarang’ – Noraniza Idris

UAE raya Jumaat

FOTO Giuseppe CACACE / AFP

Memetik Harian Metro, SAASST memberitahu tarikh tersebut dijangka menjadi hari pertama sambutan Aidilfitri di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus menandakan Ramadan tahun ini genap 30 hari seperti mana dilaporkan Agensi Berita Emiriah (WAM).

Pengiraan astronomi menunjukkan anak bulan tidak dapat dilihat pada Rabu, 18 Mac bersamaan 29 Ramadan iaitu malam cerapan rasmi kerana bulan terbenam lebih awal daripada matahari di ufuk barat.

Sehubungan itu, Khamis, 19 Mac dijangka melengkapkan bulan Ramadan sebelum umat Islam di negara berkenaan menyambut 1 Syawal pada keesokan harinya.

Balai cerap tersebut turut memaklumkan kesebarisan bulan di langit Sharjah dijangka berlaku pada 4.24 pagi waktu tempatan pada Khamis.

Ketika matahari terbenam pada hari sama, usia anak bulan hanya sekitar 14 jam enam minit dengan jarak sudut 6.5 darjah dari matahari serta berada kira-kira enam darjah di atas ufuk barat dan hanya kekal selama 29 minit selepas matahari terbenam.

Keadaan tersebut menjadikan proses cerapan anak bulan amat sukar dilakukan, malah hampir mustahil dilihat dengan mata kasar walaupun menggunakan teleskop.

Bagaimanapun, beberapa negara Arab dan Islam lain berkemungkinan dapat melihat anak bulan bergantung kepada kedudukan geografi masing-masing.

Berikutan pengumuman tersebut, rata-rata rakyat Malaysia di media sosial mula risau dan tertanya sama ada tarikh Hari Raya Aidilfitri di Malaysia akan disambut pada hari yang sama seperti di UAE atau jatuh pada Sabtu, 21 Mac 2026.

Bagaimana dengan kita rakyat Malaysia. Tak mahu mengejut-mengejut.

Boleh jadi kita raya Jumaat juga. Atau seperti dalam kalender iaitu Sabtu.

Sumber: Harian Metro