Pengguna telefon pintar disaran mengemas kini peranti masing-masing sebelum ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) pada 29 November ini. Jangan lupa bantu ibu bapa dan datuk nenek semak telefon mereka juga.

Ujian penerimaan amaran itu akan berlangsung serentak di seluruh negara pada jam 10.10 pagi hingga 10.30 pagi bagi membiasakan orang ramai dengan bunyi amaran MySiren serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

Jadi, sekiranya telefon tiba-tiba mengeluarkan bunyi amaran pada tarikh berkenaan, orang ramai tidak perlu panik kerana ia sebahagian daripada ujian yang telah dijadualkan.

MySiren hantar amaran terus ke telefon, tak perlu aplikasi

MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) untuk menyampaikan amaran kecemasan secara terus kepada telefon pintar yang serasi dalam kawasan liputan ditetapkan.

Teknologi ini membolehkan mesej dihantar kepada peranti dalam sesuatu kawasan secara serentak tanpa perlu menghantar SMS kepada nombor telefon individu.

Pengguna juga tidak perlu memuat turun aplikasi khas, membuat pendaftaran atau menggunakan data internet untuk menerima amaran.

Sistem itu dibangunkan bagi membantu orang ramai menerima maklumat berkaitan kecemasan dengan lebih pantas, termasuk ketika berlaku bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Semak versi telefon sebelum 29 November

Bagi memastikan telefon pintar mempunyai sokongan yang sesuai untuk menerima amaran MySiren, pengguna disarankan mengemas kini sistem operasi peranti masing-masing seperti di bawah:

  • iPhone: iOS 27.2 dan ke atas
  • Android: Android 12 dan ke atas
  • Huawei: EMUI 16 dan ke atas

Bagaimanapun, penggunaan versi sistem operasi tersebut tidak menjamin semua peranti akan menerima amaran kerana penerimaan turut bergantung pada keserasian telefon, tetapan amaran serta liputan ujian.

Pengguna juga perlu menyemak tetapan amaran kecemasan pada telefon masing-masing dan memastikan fungsi berkaitan diaktifkan.

Jangan lupa semak telefon ibu bapa juga

Bagi yang mempunyai ibu bapa atau datuk nenek yang kurang mahir menggunakan telefon pintar, ambil sedikit masa untuk membantu mereka menyemak tetapan dan mengemas kini peranti masing-masing.

Langkah mudah ini penting supaya mereka turut memahami tujuan ujian MySiren dan tidak terkejut apabila menerima notifikasi amaran pada 29 November nanti.

Kredit foto: BERNAMA

MySiren dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Bangunan Parlimen pada 23 November lalu sebagai sistem amaran awal bagi memperkukuh penyampaian maklumat kecemasan kepada orang ramai.

Jadi, sebelum 29 November, pastikan telefon korang dan ahli keluarga sudah dikemas kini. Jika menerima amaran pada hari ujian, bertenang dan ingat bahawa ia merupakan ujian yang dijadualkan.

Untuk maklumat lanjut, layari mcmc.gov.my.