berita

Usahawan Kosmetik Didakwa Pukul Anak, Tak Puas Hati Status WhatsApp Pasal Harta

June 16th, 2021 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Gara-gara marah anak memuat naik status di aplikasi WhatsApp, seorang usahawan kosmetik yang sebelum ini pernah viral mengenai isu tidak solat sanggup memukul anak perempuannya sehingga mengalami kecederaan di Pasir Mas, Kelantan semalam.

Tak puas hati dengan status WhatsApp anak

Sekadar gambar hiasan

Remaja yang berusia 16 tahun itu dikatakan turut dipukul oleh bapa tirinya sehingga mengalami kecederaan. Mangsa pada mulanya telah dipanggil oleh ibunya setelah berasa tidak berpuas hati dengan status WhatsApp yang telah dimuat naik oleh anaknya itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 4.30 petang di rumah mereka di Kampung Pauh, Pasir Mas. Akibat daripada kejadian itu, mangsa telah mengalami bengkak pada bahagian kiri kepala, luka pada pipi serta lebam pada anggota badannya.

Jelasnya lagi, apabila mangsa dikatakan sedang keluar daripada bilik, ibunya terus memukul kepala dan bapa tirinya telah mengheret mangsa sebelum dia dikatakan ditampar beberapa kali pada bahagian pipinya.

Selepas itu, wanita berkenaan telah bertindak memukul kepala anaknya menggunakan tangan. Ibu remaja itu kemudiannya telah cuba memukul mangsa dengan kayu hoki, namun dia sempat melarikan diri.

Punca sebab anak buat status ungkit pasal harta

Sekadar gambar hiasan

Siasatan polis mendapati bahawa insiden berkenaan berpunca daripada anaknya yang memuat status di WhatsApp mengenai ibunya yang mengungkit soal harta dan memarahi mangsa kerana mangsa tidak bekerja, namun status berkenaan dipercayai telah dipadam.

Siasatan mendapati, mangsa yang sudah berkahwin tinggal bersama ibu, bapa tiri dan suaminya di rumah tersebut serta tiada sebarang ugutan jenayah yang dikeluarkan oleh ibu dan bapa tirinya semasa kejadian.

Walau bagaimanapun, kedua-dua suspek telah ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Sumber : Kosmo

SKIP THIS AD ×