
Usahawan dan pengasas produk kesihatan, Yuniey Illuniey meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa seorang bekas pekerja terlibat dalam pengeluaran produk tiruan jenamanya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ditipu Dalam Bisnes, Zizan Razak Bangkit Dengan Semangat Baru – ‘Saya Harap Korang Sokong Saya’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Peniaga Tak Jadi Nak ‘Gulung Tikar’, Pelanggan Berderu ‘Masuk Macam Air’ Selepas Zizan Datang Makan Di Kedai
Yuniey ditipu orang paling dipercayai

Yuniey atau nama sebenarnya Wan Razila Iluni Wan Ramli, 32, berkata, dia sama sekali tidak menyangka individu yang dianggap seperti ahli keluarga sendiri sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberikan.
Saya berasa sangat kecewa dengan tindakan dia. Saya sudah anggap dia macam keluarga sendiri, saya tiada adik perempuan dan sudah anggap seperti adik sendiri. Tapi ini yang dia lakukan kepada saya.
Dia adalah orang kepercayaan saya, orang yang selama ini saya harapkan rupanya dalang di sebalik segalanya. Saya kenal seluruh ahli keluarga, pernah pergi rumah dia juga. Dia sudah tiada ayah, kami sangat rapat.
Yuniey berkata demikian ketika ditemui pada sidang media khas yang berlangsung di ibu negara pada Selasa.
Dalam nada sebak, Yuniey mendedahkan individu terbabit dikatakan secara sukarela memohon untuk diberhentikan kerja selepas kegiatan tersebut dihidu oleh pihak syarikat.
Menurutnya, dia juga pernah berusaha untuk bertemu dengan bekas pekerja itu bagi menyelesaikan perkara tersebut secara profesional, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.
Dia telah meminta untuk diberhentikan pada Jun lalu. Sejak daripada itu saya belum ada kesempatan untuk bertemu dengannya. Saya ada usaha untuk berjumpa bagi bincang, namun tidak berjaya.
Saya masih menunggu respons daripada pihaknya. Jika dia mahu berjumpa, saya terbuka untuk bertentang mata dengannya.
Kegiatan terbongkar

Mengulas lanjut, Yuniey berkata, kegiatan menghasilkan produk tiruan itu mula terbongkar selepas pihaknya menerima pelbagai aduan daripada pelanggan setia Kuffee yang mendakwa rasa dan keberkesanan produk berbeza berbanding sebelum ini.
Saya memandang isu ini dengan serius. Segalanya kantoi apabila pengguna membuat aduan kepada pihak HQ mengenai produk saya yang dikatakan sudah rasa berbeza dan tiada keberkesanan lagi.
Menerusi aduan tersebut, saya mengesyaki sesuatu dan akhirnya mendapati bahawa ada pihak yang mengeluarkan produk tiruan sama seperti produk saya. Dia tiru semua termasuk packaging, tapi rasa tidak.
Saya kemudian mengambil keputusan memberhentikan segala pengeluaran produk untuk beberapa bulan, dari Mac hingga Julai. Tetapi saya dapati produk saya masih ada di pasaran dan rupa-rupanya itu adalah produk tiruan.
Saya membina jenama ini sejak usia 16 tahun dan kepercayaan pengguna adalah aset paling berharga. Saya tidak pernah mengkhianati pengguna mahupun barisan pemimpin jualan saya.
Akibat kegiatan tersebut, Yuniey mendakwa syarikatnya mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM500,000.
Dalam masa sama, Yuniey memaklumkan pihaknya telah melantik peguam dan kini sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit bagi mempertahankan hak serta menjaga reputasi syarikat.
Malah, mana-mana individu yang didapati bersekongkol dalam kegiatan itu juga akan disenaraihitamkan daripada menjadi ejen atau stokis rasmi produk Kuffee.
Enggan terus dibelenggu rasa kecewa, Yuniey berkata pihak syarikat kini sedang membangunkan semula produk Kuffee dengan penampilan baharu serta formulasi yang dipertingkatkan dan dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat.








