berita

Utusan Ditutup Hari Ini, Pekerja Luah Rasa Hati, Tak Terfikir Perjalanan Ternoktah Begini

October 9th, 2019 | by Arini Saleh
Kini Trending

Utusan Melayu (M) Berhad, akhbar Melayu pertama yang telah diwujudkan sejak 1939 dihentikan operasi secara rasmi bermula hari ini. Sebelum ini, syarikat dilaporkan berdepan risiko tersebut selepas menghadapi masalah kewangan dan tidak lagi mampu membayar gaji pekerja.

Di Facebook, wartawan dan editor, Mohd Hazli ‘Bobo’ Hassan meluahkan rasa hati mengenai penutupan syarikat tersebut. Pastinya, kenangan dan pahit manis sepanjang berkhidmat akan diingati buat selamanya.

Semuanya ternoktah

TIDAK pernah terfikir yang perjalanan kerjaya aku ternoktah begini. Kehadiran aku di Universiti Kehidupan ini dirancang agar aku boleh menghabiskan tempoh pekerjaan sehinggalah ke hari persaraan, tak kisahlah 55 tahun mahupun 60 tahun.

Namun, takdir Allah menentukan segala-galanya. Pagi nanti, tiada lagi perlu hamba Allah ini menerjah kepadatan lalu lintas untuk ke Jalan Utusan. Tidak perlu lagi aku untuk saban hari memikirkan bagaimana untuk menaikkan prestasi syarikat dan membuat duit untuk menambah pendapatan syarikat yang kini sudah berusia 80 tahun sejak ia ditubuhkan di kota Singapura. Pagi nanti, semuanya ternoktah. Amat pedih. Walaupun aku baru 18 tahun di sini, namun perit derita keseronokan perjuangannya dapat aku rasa.

3 bulan tanpa gaji, kami tetap bertahan

Di Utusan Malaysia, di depan api di belakang kami duri. Namun kami tempuhi semuanya tanpa ada penyesalan. Keringat diperah agar dapat melihat kelangsungan akhbar Melayu ini terus berada di puncak.

Bukan semalam, bukan kelmarin, bukan tahun lepas kami sudah dalam keadaan begini. Sudah lama. Sudah lama kami mengikat perut agar dapat melihat syarikat akhbar bangsa ini meneruskan kelangsungan hidup. Biarlah… biarlah kami berkorban. Sampaikan ke tahap kami bekerja tiga bulan tanpa gaji, kami tetap bertahan.

Ketentuan Allah menetapkan segala-galanya. Tiada apa yang dapat kami lakukan lagi. Selama ini, kami hanya memperlahankan suratan yang sudah termaktub. Aku rela. Aku pasrah dengan ketentuan Ilahi. Pasti ada yang lebih baik dijanjikan Dia. Rezeki Allah itu luas.

Tidak gembira, lebih lega

Jika ini terjadi 30 tahun yang lalu ketika aku baru menginjak usia belia, aku tidak pasti adakah aku mampu menerima takdir ini. Namun sekarang dengan usia menginjak 50 tahun, aku rela. Tidak gembira, namun aku lebih lega. Semua ini ada balasannya. Ada yang lebih baik menanti.

Tapi untuk kelangsungan hidup, aku tetap akan meneruskan kemahiran aku yang aku pasti Allah akan membalasnya dengan ganjaran. Pengalaman yang aku ada tak perlu aku sia-siakan dengan merintih. Aku masih boleh sebarkan kepada sesiapa sahaja yang perlukan.

Ternoktah 9 Oktober 2019, 1.05 pagi
Haji Mohammed Hazli Hassan
Gombak, Kuala Lumpur

Sumber : Mohd Hazli ‘Bobo’ Hassan

The following two tabs change content below.