berita

Utusan, Kosmo! Berdepan Risiko Ditutup Selepas Tak Mampu Bayar Gaji Pekerja

August 20th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Selama 80 tahun, Utusan Melayu telah menyediakan pelbagai berita kepada rakyat di negara ini. Akhbar itu merupakan akhbar Melayu pertama yang diwujudkan iaitu sejak 1939.

Dari penerbitan pertamanya yang menggunakan tulisan Jawi, kini akhbar itu mungkin hanya akan tinggal sejarah apabila syarikatnya Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berdepan risiko untuk ditutup dalam masa terdekat. Turut berdepan risiko yang sama adalah akhbar Kosmo! yang turut bernaung di bawah syarikat itu.

Ditutup jika gagal jual aset

Menerusi laporan Sinar Harian, syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berdepan risiko penutupan operasi sekiranya ia gagal untuk menjual aset dalam tempoh terdekat.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia, Mohd Taufek Razak selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi syarikat itu.

Katanya, Utusan kini tidak mampu lagi membayar gaji pekerja mereka kerana masalah kewangan yang berlaku.

Pagi tadi (semalam) kami (NUJ) bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Utusan Malaysia, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir di Jabatan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia, menurutnya mereka akan menutup operasi Utusan, kerana tidak mahu lagi menanggung beban.

Mereka (pengurusan) buat keputusan, Utusan memang tak ada duit untuk bayar gaji, gaji tertunggak dan gaji masa depan. Mereka tiada wang dan gagal lupuskan aset Utusan yang ada.

Tak boleh jual aset

Apa yang mengejutkan katanya, Utusan mungkin tidak mampu menjual aset kerana kebanyakannya tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).

Katanya, ia berlaku kerana sejak pemerintahan Umno, mereka tidak mengambil peduli tentang perkara itu sama sekali.

Semasa Umno memerintah, mereka tak ambil peduli, tapi bila Umno- Barisan Nasional (BN) dah jatuh, nak jual aset tak boleh, kena kelulusan bomba dan bursa saham. Tak boleh jual selagi CF tak boleh selesai.

Malah katanya sehingga saat ini tiada sebarang bantuan daripada mana-mana pimpinan Umno yang selama ini menggunakan akhbar tersebut sebagai propaganda politik untuk parti itu.

Mereka ugut kami akan tutup Utusan, tak nak lagi beroperasi sebab tak ada duit. Setakat ini Umno pun tak beri maklumat untuk membantu Utusan terus hidup sebab Umno juga tidak ada wang.

Rayu bantuan Umno

Taufek mewakili para pekerja syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dalam pada itu turut merayu kepada  Umno supaya dapat mengulurkan bantuan kepada krisis yang melanda ini.

Kami merayu kepada Umno, ahli Umno bantulah kami, pekerja yang kami banyak berjasa membantu Umno sebelum ini untuk melihat nasib kami. Kalau tak nak bantu, juallah saham, supaya kami boleh hidup, Utusan boleh hidup dan kami boleh terus bekerja.

Diharapkan semua pekerja di syarikat tersebut tabah mengharungi dugaan ini.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×