Penyanyi Adira Suhaimi amat menitikberatkan citarasa orang ramai dalam pemilihan haruman sebelum mengambil keputusan untuk melancarkan dua jenis minyak wangi edisi khas iaitu ‘Flora Syurga’ dan ‘Aura Wanita.’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Adira Suhaimi Sambut Hari Jadi Pembantu Rumah Di Hotel Mewah, Beri Hadiah Cincin Emas

Artikel Berkaitan: ‘Saya Sentiasa Mendoakan Yang Terbaik Untuk Hafiz Suip’ – Adira Suhaimi

Pilih ikut majoriti

Menurut Adira, dia tidak mahu sekadar mengikut citarasa sendiri dalam menghasilkan produk tersebut kerana apa yang disukai olehnya belum tentu digemari oleh orang lain.

Untuk minyak wangi saya tak boleh syok sendiri jual. Walaupun saya suka bau ini, tak semestinya orang lain pun suka. Jadi saya memilih pilihan yang kebanyakan orang vote.

Bau minyak wangi ini adalah yang paling trend setakat ini.

Tambah Adira, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk kedua-dua minyak wangi tersebut mengambil masa hampir sebulan bagi memastikan kualiti dan aroma yang menepati citarasa wanita Asia moden.

Saya ambil masa sebulan untuk R&D dan menghasilkan minyak wangi ini. Setiap bauan direka untuk menggambarkan dua sisi wanita ‘Flora Syurga’ yang lembut dan feminin, serta ‘Aura Wanita’ yang berani dan berkarisma.

Adira berkata demikian ketika Majlis Pelancaran dan Hi Tea Syurga Wanita, yang dihadiri pelanggan setia, selebriti, serta pempengaruh digital yang diadakan di The Ritz- Carlton, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Syurga Wanita turut meraikan tiga pemenang utama peraduan ‘Wanita Bergaya 2025’, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai serta hadiah istimewa tajaan Syurga Wanita.

Ditanya mengapa memilih Syurga Wanita sebagai platform untuk menjual dan mempromosikan produk wangian, pemilik nama Siti Adira Suhaimi menjelaskan bahawa platform e-dagang tersebut memiliki potensi besar untuk berkembang kerana mereka mempunyai misi yang jelas dan terarah.

Saya amat teruja dapat bekerjasama dengan Syurga Wanita. Kerjasama ini bukan sekadar pelancaran produk, tetapi simbol sokongan kepada usahawan wanita tempatan.

Saya percaya platform ini berpotensi besar untuk berkembang kerana mereka mempunyai misi yang jelas.

Buka peluang jana pendapatan

Sementara itu, pengasas Syurga Wanita, Enica berkata, platform ini bukan sekadar sebagai pusat beli-belah, tetapi sebagai satu ekosistem sokongan untuk wanita dan usahawan tempatan yang mahu mengembangkan jenama mereka dengan lebih strategik.

Platform ini saya sediakan khusus buat kaum wanita untuk membeli-belah dengan mudah dalam satu platform. Terdapat banyak jenama yang sudah pun bersama kami dan pelanggan bebas untuk membeli mana-mana produk pilihan mereka.

Dalam masa sama, Enica terharu apabila Syurga Wanita berjaya menarik perhatian lebih 1,000 Key Opinion Leader (KOL) dan selebriti tempatan yang bersama-sama mempromosikan produk di platform tersebut, sekali gus mencipta peluang pendapatan baharu buat komuniti digital tempatan.

Kami amat terharu kerana dalam tempoh singkat ini, ramai KOL telah menjana pendapatan melalui platform kami.

Kami mahu membuka lebih banyak peluang kepada golongan selebriti dan pempengaruh untuk turut serta, kerana misi selepas ini adalah melebarkan sayap Syurga Wanita ke peringkat global.

Menerusi visi jangka panjang, Syurga Wanita yang merupakan milik Malaysia menyasarkan untuk menghimpunkan 100 jenama eksklusif wanita menjelang 2026 serta mencapai 1 juta pelanggan aktif dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Dunia beli-belah wanita terus berkembang pesat apabila platform e-dagang Syurga Wanita mencatat kejayaan luar biasa dengan mencapai 100,000 pelanggan aktif hanya dalam tempoh sebulan sejak dilancarkan.

Sehingga kini, Syurga Wanita telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk China, Hong Kong dan Indonesia yang memfokuskan kepada keperluan dan gaya hidup wanita moden, dengan menawarkan ratusan produk daripada pelbagai kategori termasuk kecantikan, fesyen, kesihatan dan gaya hidup.

Antara jenama tempatan yang kini berada di bawah platform ini termasuk produk kecantikan, kesihatan dan gaya hidup daripada personaliti terkenal tanah air seperti Dato Seri Alha Alfa, Adira Suhaimi dan Shanell Harun, selain beberapa jenama baharu yang turut memasarkan produk eksklusif mereka secara digital.

Program ini diadakan bagi menghargai pelanggan wanita yang berani menonjolkan gaya tersendiri, selari dengan slogan platform tersebut ‘Wanita Bergaya, Hidup Bahagia.’

Selain fokus kepada jualan, Syurga Wanita juga menekankan pendekatan komuniti, di mana pelanggan dan usahawan boleh saling berinteraksi, mendapatkan bimbingan pemasaran, serta menyertai kempen promosi bersama KOL yang dilantik.

Platform ini turut menawarkan pelbagai ganjaran menarik termasuk eWallet Rewards, Lucky Draw, Purchase with Purchase dan hadiah eksklusif seperti barangan elektronik, kereta dan tiket penerbangan.