![[VIDEO] ‘Anom Suraya Akan Sentiasa Hidup Dalam Hati Saya’ – Daiyan Trisha](https://asset.ohbulan.com/2026/08/anom-suraya-novel.jpg)
Perjalanan drama Anom Suraya yang diadaptasi daripada novel popular akhirnya sampai ke penghujung apabila TV3 menganjurkan acara Pelancaran Novel & Finale Viewing Party Drama Anom Suraya.
Artikel Berkaitan: Siri Vertikal BRU: Masin & Manis Bukan Sekadar Kisah Kopi, Sarat Elemen Drama, Komedi & Kehidupan
Episod akhir Anom Suraya
Ketika ditemui OhBulan!, Daiyan berkata penglibatannya dalam menjayakan watak Anom memberikan pengalaman yang bermakna kerana dia berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana sebuah kisah daripada novel diterjemahkan ke medium skrin.
Saya sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan Anom Suraya, daripada membaca kisah ini sebagai sebuah novel sehinggalah diberi peluang untuk menghidupkan watak Anom di layar skrin.
Dalam pada itu, pelantun lagu Jangan Lupa Jaga Dirimu ini meluahkan rasa lega dan terharu apabila perjalanan drama berkenaan sampai ke penghujungnya.
Ujar Daiyan, pengalaman menjayakan watak Anom begitu istimewa buat dirinya, lebih-lebih lagi kerana novel tersebut merupakan penulisan ibunya sendiri.
Rasa lega, gembira, terharu dan sedih juga sebab ini satu pengalaman dan perjalanan yang sangat istimewa untuk saya. Sebab ini adalah novel penulisan ibu saya.
Rasa Anom Suraya akan sentiasa hidup dalam hati saya dan saya sangat menghargai sokongan semua penonton yang memberangsangkan dan supportive. Alhamdulillah.
Bercerita mengenai cabaran sepanjang penggambaran, Daiyan berkata antara babak yang paling sukar dilaluinya adalah ketika berlakon bersama ibunya sendiri kerana itu merupakan kali pertama mereka bergandingan.
Sebenarnya babak dengan mak saya, itu yang paling susah sekali sebab tak pernah berlakon dengan mak dan ini kali pertama dia terlibat dalam apa-apa projek bersama dengan mak saya.
Saya tahu watak ini special untuk dia, jadi saya ada tekanlah dekat situ untuk jadi anak, untuk jadi karakter. Tapi setakat ini, alhamdulillah pengalaman yang sangat best.
Pelancaran novel & final viewing party Anom Suraya

Pelancaran Novel & Finale Viewing Party Drama Anom Suraya menghimpunkan penulis asal, barisan pelakon serta rakan media dalam satu majlis khas malah tetamu berkesempatan menonton terlebih dahulu dua episod terakhir Anom Suraya.
Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan akustik oleh Daiyan, bacaan karya oleh Dr. Samsiah, sesi menandatangani novel serta sesi beramah mesra bersama barisan pelakon.
Sementara itu, bahagian akhir drama menyaksikan hubungan Anom semakin berdepan dilema apabila dua lelaki, Bakhtiar (Idris Khan) dan Badrol (Yusuf Bahrin) masing-masing mengharapkan cinta daripadanya.
Anom kemudian membuat keputusan untuk kembali ke kampung bagi memulangkan cincin milik Bakhtiar sebagai usaha menjaga perasaan Puan Raden dan Badrol.
Bagaimanapun, keadaan tidak berakhir seperti yang dijangkakan apabila Badrol menyangka peluangnya bersama Anom semakin cerah, manakala Bakhtiar pula memilih untuk membawa diri.
Plot semakin mengundang persoalan apabila seorang lelaki misteri muncul di pantai pada penghujung cerita, sekali gus membuatkan penonton tertanya-tanya mengenai identiti individu berkenaan dan nasib hubungan Anom.
Acara tersebut bukan sahaja menjadi tanda berakhirnya tayangan Anom Suraya, malah mengembalikan perhatian kepada karya asal menerusi pelancaran novel khas.
Episod terbaharu Anom Suraya boleh ditonton 24 jam lebih awal menerusi Tonton, selain aplikasi tersebut boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store.







![[VIDEO] Khairul Aming Bagi ‘Tips’ Kurus, Mohon Jangan Stres ‘Cut’ Makan – ‘Ambil Yang Kita Boleh Konsisten’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/KA-25.jpg)
