![[VIDEO] Asyraf Khalid Kesal Dengan Caprice, Bakal Fail Saman Isu Tetamu Podcast – ‘Ini Soal Maruah & Keselamatan’](https://asset.ohbulan.com/2025/08/AsyrafKhalidCaprice.jpg)
Usahawan dan pengasas podcast Apa Cerita, Asyraf Khalid kesal dengan pempengaruh, Caprice yang didakwa telah melakukan serangan secara berterusan terhadapnya.
Artikel Berkaitan: Apa Cerita? Podcast Minta Maaf
Artikel Berkaitan: Caprice Berang Asyraf Khalid Jemput Individu Didakwa Mencederakan Orang Ke Podcast – ‘Shame On You’
Asyraf pertahankan diri

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Muhammad Asyraf Khalid itu berkata, dia berdepan dengan gangguan emosi dan isu tersebut turut menjejaskan reputasinya sebagai usahawan.
Asyraf turut mendakwa, isu berkenaan telah memberi imej buruk kepadanya terutama selepas dihujani dengan kecaman daripada warganet.
Hal ini menyebabkan ramai yang mengecam saya dengan mendakwa saya sebagai pedofillia, body shaming dan melibatkan keluarga saya.
Benda (hantaran) yang dia buat sudah kacau periuk nasi saya sebagai usahawan, pemegang saham dan mempengaruhi orang lain untuk memberi gambaran buruk terhadap saya.
Dalam masa sama, kalau libatkan saya seorang tak apa tetapi sampai menyebut nama bapa saya. Kata mereka, tanpa bapa saya, saya bukan siapa-siapa. Kenapa anda nak kena libatkan bapa saya dalam hal ini?
Menurut usahawan berusia 33 tahun tersebut, tindakan yang diambil adalah untuk mempertahankan dirinya daripada tomahan yang dianggap sudah melampaui batas meskipun sudah memutuskan untuk tidak menyiarkan episod penuh podcast itu.
Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah berniat mencetuskan kontroversi, apatah lagi mencabar mana-mana pihak.
Namun apabila serangan demi serangan dilakukan secara tidak bertanggungjawab, bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada keluarga, saya tidak boleh terus berdiam diri.
Ini bukan lagi soal kandungan media sosial, ini soal maruah dan keselamatan.
Dalam pada itu, anak kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa tesebut memaklumkan bahawa dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sehubungan itu, saya telah membuat satu laporan polis, kandungannya tidak boleh didedahkan buat masa ini atas nasihat peguam saya. Saya juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang terlibat.
Tindakan ini saya ambil bukan kerana dendam, tetapi kerana saya perlu mempertahankan nama baik, keluarga, dan pasukan saya yang bekerja keras selama ini. Saya tidak akan membiarkan sesiapa menjatuhkan saya semata-mata untuk mengejar populariti murahan.
Asyraf berkata demikian semasa ditemui pada sidang media berkenaan isu tersebut yang berlangsung di ibu kota pada Jumaat.
Kenyataan peguam

Sementara itu, peguam yang mewakili Asyraf iaitu Abdul Hakeem Aiman memberitahu pihaknya akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Caprice namun enggan berkongsi maklumat kes secara terperinci.
Kami percaya ia adalah satu perkara yang wajar yang harus dilakukan oleh Asyraf untuk menjelaskan perkara ini tapi bukan melalui media sosial.
Hasil perbincangan, kami bersetuju bahawa satu tindakan sivil iaitu di bawah undang-undang fitnah untuk kes saman malu dan saman fitnah, bakal difailkan dalam masa terdekat.
Namun, buat masa ini kami tidak akan memberikan sebarang komen mengenai tindakan undang-undang tersebut kerana kita menghormati sistem kehakiman. Sebaik sahaja tindakan sivil itu difailkan dan jika dibenarkan oleh Asyraf kami akan kongsikan.
Terdahulu, Apa Cerita? Podcast tampil mengeluarkan kenyataan rasmi di Instagram (IG) dengan memohon maaf susulan menjemput seorang lelaki sebagai tetamu podcast yang didakwa pernah melakukan kekasaran terhadap beberapa orang.
Sebelum ini, Caprice berang terhadap Asyraf dengan memuat naik beberapa siri hantaran dengan menyelar tindakan usahawan itu.








