berita

[VIDEO] Berlari & Dukung Ikan Lumba-Lumba Untuk Diselamatkan, Tindakan Pantas Pelajar UMT Harus Dipuji

December 13th, 2019 | by Shira
Kini Trending

Di Terengganu, seramai tujuh orang pelajar jurusan Biologi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba yang terdampar di tepi Pantai Tanjung Gelam, Terengganu. Tindakan pantas para pelajar tersebut telah mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya memuji sikap prihatin mereka.

Ikan lumba-lumba terdampar

Menerusi laporan Bernama, salah seorang pelajar tersebut yang dikenali dengan nama Mohd Nur Aiman Suhaimi berkata mereka menerima panggilan daripada orang kampung yang memaklumkan tentang penemuan ikan lumba-lumba di tepi pantai berkenaan.

Tambahnya lagi, dia yang pada ketika itu berada di makmal fakulti bergegas ke lokasi kejadian bersama rakan-rakannya yang lain untuk menyelamatkan haiwan berkenaan sejurus menerima panggilan tersebut.

Pada mulanya seakan tidak percaya kerana sepanjang pengetahuan saya, memang tidak pernah ada ikan lumba-lumba yang terdampar di pesisir pantai Terengganu sebelum ini.

Kalau kes penyu terdampar itu memang pernah berlaku beberapa kali sebelum ini, tapi untuk ikan lumba-lumba itu memang luar biasa. Namun, kami tetap keluar ke lokasi untuk kepastian.

Keadaan ikan lemah

Tambahnya lagi, sebelum mereka dimaklumkan mengenai kejadian ini, dikatakan beberapa orang individu yang berada di pantai tersebut cuba menyelamatkan haiwan itu dengan membawanya ke kawasan air yang cetek.

Sementara itu, Sinar Harian turut melaporkan, sebaik sahaja tiba di pantai tersebut, mereka mendapati ikan lumba-lumba itu berada dalam keadaan yang agak lemah.

Saya difahamkan ikan itu terdampar di kawasan berpasir namun sempat dialihkan dua individu ke kawasan air cetek sebelum kami tiba.

Lebih mencemaskan kerana ikan lumba-lumba itu sudah mula mendengus dan terdapat sedikit kesan luka di bahagian kepalanya. Mujur penduduk kampung bertindak pantas menghubungi kami dan akhirnya ia berjaya berenang kembali ke lautan.

Kumpulan pelajar ini kemudian mengambil masa hampir lima minit untuk menyelamatkan ikan lumba-lumba tersebut dengan mengangkat dan membawanya ke kawasan air yang lebih dalam.

Sumber: Mohd Nur Aiman, Bernama, Sinar Harian, Berita Harian