Pelakon, Datuk Eman Manan menyifatkan penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepadanya sebagai satu penghargaan terhadap perjalanan seninya selama ini.

Artikel Berkaitan: Bukan Calang-Calang Legasi, Ini 7 Fakta Perjalanan Seni Eman Manan Yang Wajar Dikenang!

Artikel Berkaitan: ‘Langit 2 Warna’ Arahan Erma Fatima Berjaya Buat Eman Manan Rasa ‘Ghairah’

Syukur

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Abdul Manan Embong itu menzahirkan rasa syukur dengan pengiktirafan yang diterimanya itu.

Eman menjelaskan anugerah tersebut adalah tanda penghargaan atas segala usaha dan sumbangannya yang terdahulu, bukannya untuk menentukan hala tujunya yang akan datang.

(Penganugerahan) satu pengiktirafan. Kerajaan negeri, Kebawah Duli Tuanku Baginda Sultan yang berikan kepada saya, alhamdulillah kerana bukan yang akan datang, tapi kerana yang sudah lepas-lepas.

Oleh kerana yang lepas-lepas itu, maka biarlah saya begitu saja.

Eman berkata demikian ketika ditemui pada malam tayangan media filem Takluk 2: Op Daulat yang diadakan di Putrajaya pada Isnin.

Ketika ditanya sama ada seseorang artis wajar menerima pengiktirafan semasa hayatnya, Eman mengakui bahawa perkara itu sememangnya penting.

Saya setuju, yang menerima itu akan merasa bangga. Kalau yang sudah meninggal itu, keluarganya akan merasakan jasanya dikenang.

Dalam perkembangan lain, Eman yang muncul dalam filem Takluk 2: Op Daulat mengakui lebih selesa menghayati karakter Raja Iskandar dengan pendekatan dan gayanya tersendiri berbanding terlalu terikat dengan acuan watak yang diberikan.

Ada satu babak, saya baring sebab saya penat kerana terlalu lama menunggu.

Perangai buruk saya apabila berlakon saya tidak suka bercakap dengan orang sebab tidak mahu lari fokus.

Selain Eman, turut membintangi filem tersebut ialah Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Kamal Adli, Fadlan Hazim, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi dan Sara Ali.

Untuk rekod, Takluk 2: Op Daulat merupakan kesinambungan Takluk: Lahad Datu yang diinspirasikan daripada peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Filem tersebut mengangkat kisah Ops Daulat susulan pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada Februari 2013.

Kisah itu turut mengetengahkan pengorbanan anggota keselamatan yang mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

Takluk 2: Op Daulat bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 26 November ini.