Di media sosial, viral rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita mencampak dua orang anak ke dalam sungai. Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dipercayai berlaku di Jambatan Al-Aimmah Sungai Tigris Iraq.
Nak balas dendam
Menerusi rakaman CCTV yang berdurasi 0:42 saat, si ibu dilihat mendukung bayi dan memegang tangan seorang lagi anaknya melintas jalan di sebuah jambatan. Dia kemudiannya menghampiri bahagian tepi jambatan sebelum mencampak anak-anak ke dalam sungai. Selepas itu, dia dengan ‘selamba’ berlalu pergi.
Memetik laporan Gulf Today, wanita berkenaan telah ditangkap oleh pasukan keselamatan Iraq dan kini dalam tempoh tahanan. Ketika disoal siasat, ibu mengaku membuang anak-anaknya ke dalam sungai selepas berlaku perselisihan faham dengan bekas suaminya. Malah, dia turut mengaku mahu membalas dendam selepas bercerai beberapa bulan lalu.
Menurut paralegal Iraq di Twitter, pasangan itu telah bercerai tiga bulan sebelumnya dan suami diberi hak penjagaan anak-anak mereka.
Sementara itu, salah seorang ahli keluarga melalui laporan Gulf News mendakwa kekejaman ini sudah lama dirancang wanita tersebut.
Pada Januari tahun ini, kami menangkap wanita itu dengan kekasihnya. Kami membawanya kembali ke rumah ibu bapanya dan memberitahu ‘ini adalah anak perempuan kamu. Kami mahu menceraikannya di mahkamah.’
Mereka kemudiannya bersetuju. Kami tidak pernah membicarakan perkara ini di mana-mana, dan kami juga tidak menunjukkan gambar-gambar itu kepada sesiapa.
Mayat kedua-dua anak berusia tiga dan dua tahun itu akhirnya berjaya ditemui pasukan penyelamat selepas operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan. Lapor portal itu lagi, si bapa meraung semahu-mahunya sebaik tiba di lokasi anaknya dicampak sehingga lemas.
Sumber: Gulf Today