![[VIDEO] Haliza Maysuri Tetap Kuat Semangat Berdepan Gangguan Sihir – ‘Kalau Tak Diuji, Mungkin Saya Akan Terlena Dengan Dunia’](https://asset.ohbulan.com/2025/12/haliza-33.jpg)
Usahawan berjaya, Haliza Maysuri berkongsi tentang pengalamannya ketika melalui detik sukar yang dipercayai berkait dengan perbuatan sihir.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Diuji Dengan Sakit Yang Tiada Ubat Sejak 20 Tahun Lalu’ – Haliza Maysuri
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Haliza Maysuri Rebah Ketika Majlis Sambutan Ramadan – ‘Biarkan Allah Hukum & Balas Orang Yang Zalim Terhadap Kita’
Ujian yang dilalui
Ketika ditemui OhBulan!, Haliza mendedahkan pelbagai gangguan mistik terjadi terutama semasa berada di kediamannya dan di premis perniagaan.
Menurut Haliza, pemeriksaan kesihatan telah dilakukan, namun hasil laporan perubatan menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah dari segi fizikal.
Saya tak dapat nak berselindung lagi (gangguan sihir), banyak kali terjadi apabila saya tengah melayan pelanggan tiba-tiba rebah. Ia berlaku secara tiba-tiba dan selalunya suami akan azankan barulah saya kembali okay.
Saya buat pemeriksaan kesihatan di hospital tetapi tiada penyakit yang dikesan.
Saya sakit ketika bekerja sahaja, iaitu ketika ada majlis (bisnes) dan semasa saya masuk ke premis perniagaan saya.
Macam-macam perkara pelik juga berlaku di rumah saya.
Bercerita lanjut, Haliza berkongsi beberapa kejadian aneh iaitu ketika menyedari dirinya mula menerima gangguan sihir semasa di fasa awal perniagaan.
Kami berniaga tahun 1998, namun pada tahun 2004 saya sudah mula sakit.
Semasa berniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman, ketika nak buka pintu kedai saya nampak ada banyak tanah dengan bunga kemboja dan dalam almari kaca pula dipenuhi dengan air.
Pernah suatu hari, saya nampak seorang lelaki tua berbaju putih, bersongkok, berjanggut dan bertongkat. Kemudian dia beri salam, saya ingatkan orang nak minta sedekah tapi bila nak bagi duit kelibatnya sudah hilang.
Selepas daripada itu, saya mula tak sihat, bila orang ramai datang membeli saya menangis dan menggigil. Sampai satu tahap saya jatuh pengsan.
Haliza berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Suri Boss yang berlangsung di Premiera Hotel pada Rabu.
Kuat semangat
Bagaimanapun, pengasas jenama tudung Bawal Exclusive itu tetap optimis dan mempunyai semangat yang kuat meskipun diuji dengan hebat.
Tambah Haliza, dia mengambil hikmah atas semua yang terjadi sebagai peringatan untuk meningkatkan lagi amalannya terutama bersedekah.
Saya tak bermusuh dengan sesiapa pun dalam perniagaan, malah tak pernah meniru atau ambil peduli tentang hal orang lain. Saya hanya fokus dengan perniagaan sendiri.
Tapi saya tetap kuat semangat. Sebaik-baik pendinding adalah sedekah dan amalan. Saya juga bersangka baik, kalau saya tidak diuji dengan kesakitan mungkin saya akan terlena dengan dunia.
Tuhan uji saya untuk saya kejar bukan sahaja dunia tapi akhirat.