Di Instagram, viral sebuah video yang menunjukkan beberapa orang kanak-kanak sedang melakukan persembahan sempena Hari Ibu. Lebih mencuri tumpuan, kesemua mereka telah menghadiahkan sekuntum bunga buat ibu masing-masing di hujung persembahan tersebut.
Berdiri keseorangan
View this post on Instagram
Difahamkan, anak-anak kecil ini sedang menyanyikan lagu ‘Kaulah Ibuku’ nyanyian Haddad Alwi di hadapan guru-guru dan ibu mereka. Di penghujung lagu tersebut, kesemua mereka kelihatan berlari menuju ke ibu masing-masing bagi memberi sekuntum bunga yang dipegang oleh mereka semasa di awal persembahan.
Namun begitu, seorang anak kecil dilihat masih berdiri di tempat yang sama tatkala rakan-rakan yang lain sedang memberikan bunga kepada ibu masing-masing. Wajah anak itu dipercayai sedang menahan sedih. Bagi menceriakan semula hati anak kecil tersebut, seorang guru telah datang dan memeluknya. Menyedari rakan mereka sedang keseorangan dan dipeluk oleh guru, kesemua anak-anak kecil yang lain turut memeluk rakan mereka itu sambil menitiskan air mata.
Pernah berada di situasi itu
Di ruangan komen, rata-rata netizen sedih dan tersentuh melihat anak kecil itu. Menurut salah seorang daripada netizen, dia pernah berada di situasi tersebut dan faham mengenai perasaan anak kecil itu. Rata-rata netizen turut mendoakan supaya anak kecil tersebut berjaya pada masa hadapan dan kuat menjalani kehidupan yang mendatang.
Sumber: Official Makassar Info