Tiada apa yang berubah, penyanyi, Datuk Ziana Zain mengakui dirinya masih seperti dahulu dan menjalani kehidupan seperti biasa meskipun kini bergelar Datuk selepas menerima pengurniaan darjah kebesaran.

Artikel Berkaitan: Ziana Zain Sebak Arwah Ayah & Ibu Tak Sempat Lihat Momen Terima Gelaran Datuk

Artikel Berkaitan: Ziana Zain Kini Bergelar Datuk, Terima Darjah Kebesaran Melaka

Tiada yang berubah

Ketika ditemui OhBulan!, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 58, berkata dia masih membiasakan diri dengan gelaran Datuk yang diterimanya, terutama apabila orang ramai mula menyapanya dengan panggilan tersebut.

Perubahan diri saya tiada yang beza, saya tetap seperti dahulu. Cuma mungkin cara orang menyapa atau memanggil saya dengan gelaran ‘Datuk’.

Bila sudah diberi pengiktirafan, kita terima dan bersyukur kerana ini adalah penghargaan terhadap perjalanan kerjaya saya.

Bagi saya, gelaran ini ibarat pangkat di sekolah seperti pengawas atau ketua pengawas. Apa yang penting kita perlu menjaga keperibadian dan cara kita membawa diri bersama masyarakat.

Penampilan tetap bersahaja seperti biasa. Saya masih pergi ke pasar malam, minum di kedai kopi atau warung mamak. Kalau dari dahulu kita sudah terbiasa membawa diri dengan baik, kita tidak akan rasa kekok.

Ziana berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tahlil Tun Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Rabu.

Jelas Ziana, dia percaya pengiktirafan yang diterimanya itu sudah ditentukan oleh Allah SWT dan hadir pada waktu yang tepat buat dirinya.

Bagi saya, Allah sudah aturkan masa dan usia yang paling tepat untuk menerimanya.

Kalau sewaktu usia 40-an mungkin rasa masih terlalu awal, tetapi apabila mencecah 50-an, ia hadir tepat pada waktunya.

Ketika ditanya mengenai reaksi keluarga, Ziana berkata anaknya mendapat tahu mengenai pengurniaan darjah kebesaran itu ketika berada di sekolah.

Anak-anak semua tiada masalah. Cuma sewaktu di sekolah, anak saya beritahu cikgunya memaklumkan mama dapat gelaran Datuk. Dia terus bertanya, apa itu Datuk mama?

Masa itu terfikir juga bagaimana mahu terangkan kepada mereka. Saya jelaskan bahawa ini adalah satu bentuk pengiktirafan untuk kerjaya seni mama. Walaupun mereka belum faham sepenuhnya, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Untuk rekod, Ziana menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Jadi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada 24 Ogos lalu.