Pelakon, Ikmal Amry berharap orang ramai tidak berterusan membuat perbandingan negatif mengenai pelakon dari seberang, Jefri Nichol termasuk menyamakan sebagai versi ‘red flag’ dirinya.

Artikel Berkaitan: Ikmal Amry Sertai Celebrity Fight Boxing & Hyrox Di Bangkok – ‘Saya Janji Tidak Akan Malukan Diri Sendiri’

Artikel Berkaitan: Ikmal Amry Tak Menyesal Kahwin Muda, Alam Rumah Tangga Banyak Ajar Erti Kehidupan – ‘Ketika Itu Nama Sedang Di Puncak’

Henti spekulasi

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 31, berkata Jefri memiliki perwatakan yang baik, berbeza daripada tanggapan orang ramai.

Katanya, dia tidak pernah bersemuka dengan Jefri namun sempat bertanyakan sifatnya melalui rakannya yang pernah bekerja dengannya.

Saya pernah tanya dengan kawan saya pelakon Indonesia yang pernah jumpa dia, dia sangat humble.

Kalau jumpa orang dia akan tunduk. Cara dia layan kalian di Threads itu memang soft spoken.

Kalian kena kenal orang tu baru boleh judge. Janganlah cakap orang red flag.

Ikmal berkata demikian ketika ditemui pada tayangan episod akhir drama Khianat Yang Terpilih di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, pelakon filem Gantung: Musketeer Code itu bersyukur dengan pujian yang menyifatkannya sebagai ‘green flag guy‘ namun tidak menafikan dia juga mempunyai kekurangan.

Saya pun tiadalah se ‘green’ yang orang sangka sebab kalian tidak hidup dengan saya. Isteri saya saja yang tahu perangai saya macam mana.

Biarlah orang fikir kita ni macam mana, sebenarnya Allah tutup aib kita saja.

Henti buat perbandingan

Bagaimanapun, Ikmal berharap isu mengenai wajah seiras itu tidak berterusan menjadi topik walaupun pelakon dari seberang itu melayani peminatnya dengan baik.

Ikmal mengakui berasa bimbang dengan tanggapan Jefri yang mungkin menganggap peminat di sini keterlaluan kerana gurauan yang agak berlebihan.

Perkara ini dah lama berlaku. Setiap kali saya keluar televisyen akan ada orang yang samakan wajah kami.

Saya rasa, saya pun tumpang rezeki dia juga kerana dia sangat terkenal.

Saya pun dah mempunyai tiga orang anak, orang membandingkan kami sejak zaman saya bujang lagi.

Bagi saya, boleh saja nak bandingkan tapi jangan sampai menghina. Masing-masing ada cita rasa yang berbeza, jadi hormat sajalah.

Terdahulu, netizen mendakwa Ikmal lebih kacak daripada Jefri, sehingga mencetuskan perdebatan hangat di media sosial selepas drama yang dilakonkannya tular.