Pelakon, Jaa Suzuran mengakui dirinya terkejut dengan penangkapan abang dan kakak iparnya yang merupakan penyanyi dikir barat di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, pada 1 November lalu.
Artikel Berkaitan: Penyanyi Dikir Barat Ditahan Di Narathiwat Dedah Keluarga Tak Mampu Bayar Peguam – ‘Mereka Minta RM1 Juta, Ramai Cuba Ambil Kesempatan’
Terkejut dengan apa yang berlaku
Ketika ditemui OhBulan!, Jaa atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ahmad berkata, dia juga tidak mempunyai sebarang komen berhubung kejadian yang berlaku.
Sudah tentu saya terkejut sebab berlaku secara tiba-tiba. Susah saya nak jelaskan.
Kalau kejadian sama berlaku kepada anda, sudah pasti turut memberi kejutan. Kami sekeluarga sekarang hanya mampu berdoa supaya segala urusan dipermudah.
Saya nak cakap lebih-lebih pun saya tiada di tempat kejadian. Cuma saya harap ujian yang berlaku ini baik-baik sajalah,
Percayalah kalau ada perkara yang saya boleh cakap memang saya nak bercerita. Siapa tak nak pertahankan keluarga.
Jaa berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem ‘Soloz: Game Of Life’ bertempat di GSC, The Starling Mall pada malam Isnin.
Henti buat spekulasi
Jaa yang begitu tenang menjawab pertanyaan daripada media walau bagaimanapun memohon orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar memandangkan kes masih dalam siasatan.
Saya harap kita berhati-hati ketika bercakap. Ini kerana, kita tak tahu cerita sebenar yang terjadi pada waktu kejadian.
Saya tidak dapat nafikan saya pun sebelum ini pernah membuat spekulasi dan memberikan komen apabila sesuatu kes viral walaupun hakikatnya kita pun tiada di tempat kejadian.
Dalam masa yang sama, Jaa mengakui dirinya tidak mampu untuk menutup mulut orang ramai daripada terus bercakap di media sosial.
Saya tak salahkan netizen sebab mereka memang tak tahu cerita sebenar.
Kadang-kadang saya memilih untuk tak layan komen yang ditinggalkan. Lagipun kita tak boleh nak salahkan mereka sebab kes ini sudah viral.
Siapa yang tak ikut (perkembangan kes)? Saya hanya mampu ‘tahan’ dan bersabar. Kita nak marah pun tiada guna.
Pada 14 Januari lalu, seorang penyanyi dikir barat Malaysia beserta lima yang lain didakwa pertuduhan memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di Pekan Sungai Golok pada 1 November lalu.
Kesemua tertuduh kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah (memasuki dadah dalam badan) namun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil yaba.