Penerbit, Jaja Ishak tampil berkongsi realiti sebenar dunia penerbitan drama tempatan apabila mengakui bukan semua artis sesuai untuk bekerjasama dengan syarikat produksinya.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Jaja Ishak Tak Kisah Dituduh Tumpang Populariti Hadie, Ammar & Auddra

‘Ada bajet tertentu’

Menurut Jaja, sebagai penerbit dia perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk kemampuan produksi, kos operasi serta kebajikan seluruh tenaga kerja di belakang tabir dan bukan hanya memenuhi kehendak pelakon semata-mata.

Katanya, setiap produksi mempunyai bajet tersendiri dan pihaknya perlu memastikan perjalanan penggambaran berjalan lancar tanpa membebankan mana-mana pihak.

Kami sebagai pihak produksi pun ada bajet dan had tertentu. Kalau ada artis yang terlalu banyak terma dan syarat, saya memang kurang berminat nak ambil.

Ada artis yang meletakkan harga terlalu tinggi hingga di luar kemampuan produksi. Kita pula buat drama biasa, bukan premium series atau OTT, jadi semuanya kena ikut bajet yang ada.

Jaja berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran yang dimuat naik di Threads sebelum ini berhubung isu bayaran artis dan cabaran sebenar yang sering dihadapi produksi tempatan.

Menurutnya lagi, ramai yang kurang memahami bahawa sesebuah rumah produksi turut menanggung komitmen besar termasuk pembayaran gaji pekerja, kos pengurusan pejabat selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam masa sama, Jaja turut mengakui terdapat segelintir artis yang kurang selesa menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur sehingga menyukarkan proses kerjasama memandangkan syarikat produksinya berpangkalan di Pahang.

Bagaimanapun, dia menghormati pendirian setiap artis dan menganggap perkara tersebut sebagai soal kesesuaian kerja antara kedua-dua pihak.

Syarikat kami memang banyak buat penggambaran di Pahang sebab kami berasal dari sana. Jadi outstation memang wajib.

Ada artis yang tak boleh outstation, jadi kami tak boleh bekerjasama dengan mereka. Tak ada masalah pun sebenarnya, mereka ada pilihan sendiri dan kami pun ada keperluan produksi sendiri.

Tambah Jaja, pemilihan Pahang sebagai lokasi utama penggambaran bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya dia mahu mempromosikan keindahan negeri itu yang disifatkan mempunyai banyak lokasi menarik dan masih jarang diketengahkan dalam drama tempatan.

Menurutnya, elemen alam semula jadi dan suasana negeri tersebut mampu memberi kelainan kepada visual drama yang diterbitkan syarikatnya.

Sementara itu, Jaja turut berkongsi perkembangan terbaharu apabila drama bersiri terbitannya berjudul Sepenuh Hati Rindu bakal memulakan penggambaran pada 21 Jun depan bagi slot Samarinda TV3.

Menurutnya, drama tersebut akan tampil dengan jalan cerita yang sarat konflik dan dijangka memberi kejutan kepada penonton.

Saya rasa penonton akan teruja sebab drama ini ada konflik yang mungkin di luar jangkaan mereka.

Drama Sepenuh Hati Rindu bakal menampilkan pelakon Farah Nabilah yang sudah lama berehat dan Shah Jaszle serta bersama beberapa pelakon lain.

Sumber: Threads