berita

Video ‘Joget’ Hiburkan Kanak-Kanak Positif Covid-19 Viral, Sukarelawan Ini Cerita Apa Yang Berlaku Sebenarnya

July 2nd, 2021 | by Amat
Kini Trending

Terdahulu, viral sebuah video di media sosial yang mendapat perhatian ramai menyaksikan aksi frontliners menghiburkan seorang kanak-kanak lelaki di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di MITC, Melaka. Tindakan para petugas barisan hadapan memainkan lagu dan berjoget demi menghiburkan kanak-kanak yang sedang muram itu raih pujian pengguna media sosial.

Nampak dia bad mood dan meragam

Menerusi sesi temubual bersama OHBULAN!, petugas barisan hadapan dikenali sebagai Aysha Khairuddin yang merupakan salah seorang sukarelawan di bawah syarikat New Allwell Pest & Cleaning Sdn Bhd yang merupakan sub contractor MITC dipertanggungjawabkan bagi melakukan kerja-kerja sanitasi di pusat kuarantin di MITC, Melaka.

Susulan video yang tular itu, Aysha berusia 24 tahun menceritakan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun bernama Firaas sebelumnya kelihatan meragam dan bersedih. Demi menceriakan kanak-kanak tersebut, dia memainkan lagu di telefon pintarnya sambil berjoget menuju ke arah katil kanak-kanak tersebut. Selepas itu, kanak-kanak berkenaan kelihatan gembira dan turut menari bersama.

Saya nampak dia macam bad mood dan meragam. Jadi, saya dengan rakan-rakan pun pasang lagu di telefon dan berjalan sambil menari ke arah katil adik Firaas. Selepas menari dan tengok aksi kami, saya dah nampak dia lebih gembira dari sebelumnya.

Yang rakam video itu mak kepada adik Firaas dan mungkin dihantar ke dalam group Whatsapp lalu video tersebut dimuat naik oleh sepupunya di platform media sosial. Tidak sangka video itu akan viral dan Alhamdulillah dapat pujian ramai.

Melihat ramai kanak-kanak di sini

Difahamkan, adik Firaas dan keluarganya telah dimasukkan ke pusat kuarantin termasuklah ibu dan dua lagi adik-beradiknya. Manakala, ayah kepada adik ini pula dimasukkan ke sebuah hospital disebabkan terdapat beberapa simptom kritikal.

Terbaharu, adik Firaas dan keluarganya yang ditahan di pusat kuarantin itu telah dibenarkan keluar dari situ setelah kurang seminggu menjalani tempoh kuarantin disebabkan sudah tiada sebarang simpton dikesan.

Di pusat kuarantin MITC, Melaka ini ramai saya lihat pesakit masuk memandangkan bilangan kes semakin hari semakin meningkat. Saya juga melihat peningkatan bilangan kanak-kanak yang masuk ke sini berbanding dahulu yang hanya dipenuhi oleh golongan dewasa.

Perkara ini telah membuka mata saya sendiri mengenai tahap kesihatan yang perlu kita jaga bersama-sama. Saya nampak ramai di sini bertarung nyawa untuk melawan virus Covid-19.

Frontliners hiburkan kanak-kanak dapat perhatian

Video ini telah viral di platform TikTok dan Twitter mendapat pujian ramai pengguna media sosial apabila melihat aksi yang dilakukan frontliners demi menghiburkan pesakit Covid-19 terutamanya kanak-kanak yang menjalani tempoh kuarantin di sana. Sebagai sukarelawan, Aysha turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP seperti mana disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi kesihatan bersama.

SKIP THIS AD ×