![[VIDEO] Loca B Enggan Fikirkan Lagi Kemelut Bersama Mentua, Sudah ‘Move On’](https://asset.ohbulan.com/2025/07/loca-b-mentua-dua.jpg)
Penyanyi dan komposer, Loca B mengambil keputusan untuk tidak lagi memikirkan kemelut bersama keluarga mentua sebaliknya, memberikan tumpuan sepenuhnya kepada masa depan anak-anak.
Artikel Berkaitan: Loca B Kecewa Anak Masih Belum Dapat Kewarganegaraan Malaysia – ‘Saya Bimbang Tentang Masa Depan Dia’
Artikel Berkaitan: Loca B Umum Berhenti Menyanyi, Mahu Fokus Besarkan Anak-Anak – ‘Saya Nak Mereka Faham Agama Luar Dalam’
Hanya doa yang terbaik

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Nabilah Hani Azali, 33, berkata dia hanya mendoakan yang terbaik buat keluarganya agar tidak lagi dihimpit konflik yang mampu menggugat kestabilan emosi dan kesihatan mentalnya.
Saya sudah move on dan mahu fokus dengan kehidupan baharu. Saya hanya doakan terbaik untuk semua orang supaya kita sentiasa bermuhasabah diri.
Saya hanya mahukan yang terbaik untuk kami semua daripada segi kesihatan mental, fizikal dan emosi.
Apa yang saya boleh lakukan sekarang adalah fokus kepada masa depan anak-anak.
Loca berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media The Chosen One Xtra X Jutawan Ekpress yang diadakan di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Berkongsi lanjut, Loca menyifatkan konflik yang dihadapinya sebelum ini adalah sebahagian daripada ujian hidupnya.
Secara jujur terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya dan perlu diselesaikan. Saya menganggap ini semua adalah ujian daripada Tuhan.
Kalau nak cakap memang kita ini emosi, mungkin juga sudah bertahun saya diam. Saya sebenarnya mahu teruskan hidup seperti biasa.
Saya mahu lakukan yang terbaik, mencari rezeki halal untuk pastikan anak-anak saya terjaga. Itu adalah tanggungjawab paling besar yang saya ada.
Suami beri sokongan

Sementara itu, Loca turut berkongsi suaminya, Tuju sentiasa memberikan sokongan dan memahami situasi yang berlaku.
Suami saya tahu apa yang terjadi dan kami hanya mahu melepaskan semuanya (masalah) dan hanya fokus pada keluarga kecil kami.
Pada Februari lalu, Loca meluahkan rasa tidak puas hati terhadap ibu mentuanya kerana mendakwa pernah melakukan penipuan dengan mencuri hasil kerja kerasnya ketika mengandungkan Bintang Aiko.
Menurut Loca, dia enggan lagi hidup dalam keadaan trauma dan mengambil keputusan untuk bercerita masalah mereka kepada umum.
Untuk rekod, Loca mendirikan rumah tangga dengan Tuju pada Mac 2021 dan mereka memiliki seorang cahaya mata iaitu Bintang Aiko yang kini berusia tiga tahun.
Loca juga mempunyai seorang anak lelaki melalui perkahwinan terdahulu yang diberi nama Yusuf Alexander, 9 tahun.








