Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel kelihatan tenang ketika menghadiri pengurusan kes amang seksual fizikal melibatkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Mahkamah Sesyen dan Majistret Putrajaya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan: Sebutan Kes Dakwaan Amang Seksual Naim Daniel Ditetapkan 19 September Ini

Artikel Berkaitan: ‘Saya Bekerja Seperti Biasa, Harap Semua Dapat Bersabar’ – Naim Daniel

Subuh di mahkamah

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, memberitahu dia hadir awal ke mahkamah sebagai tanda komitmen dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

Saya tiba seawal pukul enam pagi dan menunaikan solat Subuh di sini. Alhamdulillah, segala urusan hari ini berjalan lancar dan semua pihak memberikan kerjasama yang baik. Saya juga berada dalam keadaan baik sekarang.

Naim berkata demikian ditemani barisan peguamnya iaitu Amirul Ridzuan Hanif, Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, pelantun lagu Sumpah juga berkata dia kini sedang sibuk menyiapkan rakaman untuk lagu baharunya.

Buat masa ini, saya sedang fokus kepada penghasilan lagu baharu. Proses rakaman hampir selesai dan insya-Allah akan dilancarkan hujung bulan ini.

Saya anggap ini sebagai satu rezeki yang tidak disangka-sangka. Saya juga sentiasa mendoakan kebaikan buat semua yang masih menyokong dan mendengarkan karya saya.

Ketika ini, fokus saya hanya kepada kerja dan ingin terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 15, 16 dan 18 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan bagi kes tersebut.

Terdahulu, pada 18 Ogos lalu, Naim hadir ke mahkamah bersama peguamnya untuk menyerahkan dokumen berkaitan pembelaan.

Pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berumur 17 tahun 7 bulan, di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, sekitar pukul 8.56 malam pada 19 Mei 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.