![[VIDEO] Nam Ron Ada ‘Stage Fright’, Tak Suka Berada Di Atas Pentas](https://asset.ohbulan.com/2025/06/nam-ron-teater-tiga.jpg)
Pelakon veteran, Nam Ron mendedahkan mempunyai ketakutan berada di atas pentas (stage fright) sehingga berdepan dengan situasi buruk pada masa lalu.
Artikel Berkaitan: Selalu Berlakon Watak Serius, Nam Ron Sahut Cabaran ‘Catwalk’ Di KLFW2021 – ‘Another Level Tok Ayah!’
Artikel Berkaitan: Dapat Mesej Gangguan Seksual, Nam Ron Diintai Individu Suka Lelaki Berusia – ‘Saya Dapati Banyak Gambar Lelaki Tua Tayang ‘Anu’
Stage fright
Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Nam Ron atau Shahili Abdan, 55, berkata ketakutan itu membuatkan dia terpaksa mempertimbangkan tawaran untuk beraksi dalam teater Persiapan Seorang Aktor.
Kata Nam Ron, dia tidak mampu untuk memberikan jawapan yang cepat ketika dihubungi pengarah Syahrul Musa berkenaan tawaran peluang berlakon teater.
Saya sebenarnya tidak suka berada di atas pentas, lebih-lebih lagi bila orang tengok saya.
Keadaan itu buat saya rasa tidak selesa. Saya tak suka menjadi perhatian penonton.
Perkara itu dikongsi ketika ditemui di acara minum petang Teater Persiapan Seorang Aktor yang diadakan di Sudu House, Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.
Bercerita lanjut, pelakon filem Paloh itu berkongsi pernah mengalami pengalaman buruk seperti gugup ketika melakukan permentasan teater di hadapan orang ramai sebelum ini.
Nam Ron berkata disebabkan trauma itu dia memilih untuk tidak berlakon teater kerana risau perkara yang sama akan berulang kembali.
Bila dapat tawaran berlakon teater ini, saya jadi takut. Saya tak suka perasaan gugup untuk beraksi di pentas. Rasa senak perut.
Saya tidak boleh terganggu. Pernah sekali saya berlakon teater menjadi seorang ustaz.
Apabila saya nampak penonton di hadapan, saya boleh lupa doa yang perlu dibacakan. Saya terus keluar dari pentas itu.
Sahut cabaran
Bagaimanapun, Nam Ron berkata demi melupakan trauma itu dia sanggup menyahut cabaran dengan membintangi teater arahan Syahrul.
Jelas Nam Ron, keputusan yang diambil ini juga boleh membantu dirinya untuk ‘reset’ selain membentuknya menjadi seorang pelakon yang lebih baik.
Dalam dunia lakonan ini saya rasa dah sampai tahap tepu, asyik buat perkara yang sama (berlakon).
Sampai hilang keseronokan dan sekadar mahu melunaskan kerja dan terima bayaran.
Lagi pun watak yang saya terima tidak mencabar sebagai seorang pelakon, jadi disebabkan itu saya bersetuju menerima tawaran berlakon teater ini.
Dalam perkembangan lain, Nam Ron akan muncul dalam pementasan teater Persiapan Seorang Aktor yang akan berlangsung pada 17 hingga 20 Julai ini di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).
Pementasan itu juga dibintangi dua pelakon lain iaitu Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin.
Tiket sudah mula dijual dengan harga bermula RM58 hingga RM98.