Penyanyi, Ning Baizura mendedahkan anaknya Ryan Sky Dalton pernah menjadi mangsa buli rakan-rakan sebayanya di sekolah.

Artikel Berkaitan: Lagu Awan Yang Terpilu Gambaran Kisah Hidup Ning Baizura – ‘Arwah Ayah Saya Tak Restu’

Artikel Berkaitan: Ning Baizura Kawal Emosi Menyanyi Lagu ‘Dugaanku’, Terkenang Pengorbanan Ibu Urus Kerjaya Seni & Jatuh Bangun Dalam Industri

‘Body shaming’

Ketika ditemui OhBulan!, Ning atau nama lengkapnya Ning Baizura Hamzah, 50, memberitahu bahawa Ryan sebelum ini pernah berdepan dengan buli siber.

Anak saya pernah dibuli, buli untuk zaman sekarang lain. Ada dua perbezaan, buli yang fizikal dan buli siber.

Dalam ‘chat group’ dia telah dibuli, saya tengok bahasa budak budak zaman sekarang bukan main.

Bukan itu sahaja, anak lelaki Ning yang kini berada di tahun enam tersebut turut diejek oleh rakan-rakannya secara fizikal.

Ada benda-benda yang mereka tulis di dalam itu menjadi kebiasaan, maksudnya mereka menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik.

Saya tanya pada Ryan apa masalah dia sekarang dan dia beritahu dia merasakan dirinya dibuli. Mereka kata macam-macam termasuklah dahinya jendul.

Ning berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Kilauan Emas musim kelapan yang berlangsung di Summit Hotel pada Selasa.

Ambil tindakan

Menurut Ning, dia mula menyedari tentang perkara tersebut apabila melihat perubahan perwatakan Ryan yang berbeza dari kebiasaan.

Tiba-tiba dia tak nak potong rambut sebab dia mahu tutup bahagian dahinya. Jadi saya cakap dengan suami ada sesuatu yang tidak kena pada anak.

Sebab Ryan ceria orangnya, tiba-tiba nampak ‘down’. Selepas kami tahu tentang perkara itu, kemudian saya ada bagi jalan penyelesaian kepadanya.

Tidak berdiam diri, Ning kemudian mengambil pendekatan untuk berdepan sendiri dengan ibu bapa pelajar tersebut bagi menyelesaikan masalah anak-anak mereka.

Jadi sebagai ibu saya mengambil tindakan untuk berjumpa dengan ibu bapa kanak-kanak itu beserta tangkap layar mesej berkenaan sebagai bukti.

Kalau pergi terus ke sekolah, mungkin mereka akan kata tiada bukti, jadi saya terpaksa mengambil tindakan untuk berjumpa dengan ibu bapa mereka, kami berbincang secara terbuka dan selesaikan dengan baik.

Bila saya berbincang dengan Ryan, katanya dia juga mahu selesaikan sendiri. Beberapa hari kemudian Ryan beritahu semuanya sudah selesai.

Dalam pada itu, pelantun lagu Awan Yang Terpilu tersebut turut menitik beratkan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak selain pihak sekolah juga perlu memainkan peranan mereka.

Saya percaya, sebagai ibu bapa, kita juga bertanggungjawab untuk pantau apa yang anak-anak kita lihat dan tulis di telefon.

Budaya buli zaman sekarang sangat berbeza dari zaman dahulu. Sekarang ia meninggalkan kesan emosi yang dalam.

Saya harap sekolah ambil serius dan sediakan platform untuk anak-anak meluahkan perasaan mereka.

Untuk info, Ning mendirikan rumah tangga bersama Omar Shariff Christopher Layton Dalton pada Januari 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki.