
Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali tidak mengambil hati apabila video lama memaparkan kelemahan vokalnya kembali ditularkan serta dijadikan topik bualan dalam media sosial.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nabila Razali Rai Hari Lahir Peminat, Penuhi Hasrat Pesakit Leukemia – ‘Saya Cuba Jadi Sahabat Syurga Awak’
‘Netizen tak ada point’

Nabila atau nama lengkap Nur Nabila Mohd Razali, 34, berkata, situasi tersebut bukan perkara asing, malah sudah berulang kali berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Jelas Nabila, tindakan mengulang siar semula video lama itu berlaku apabila tiada isu baharu untuk diperkatakan oleh segelintir wargamaya.
Saya tidak boleh nak komen apa sebab video lama itu memang ada saja. Tiada apa yang baru, perkara itu sudah bertahun lamanya tetapi mereka (netizen) masih kongsi semula.
Setidaknya ia mengingatkan kembali tentang masa lalu yang pernah berlaku, kalau tidak saya pun lupa. Tak boleh buat apalah. Mungkin mereka pun dah tak ada point, itu sebab keluarkan balik semua video lama.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama siri Viu Original, Sesaat Lebih yang berlangsung di 1 Utama, Petaling Jaya, pada Rabu.
Mengulas lanjut, ibu kepada satu anak itu menegaskan dia tidak pernah mengambil kritikan terhadap kemampuan vokalnya sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya melihatnya sebagai ruang untuk memperbaiki diri.
Nak cakap fasal saya menyanyi tak okay atau apa saja teruskan sebab saya menerimanya dengan hati terbuka sejak dulu lagi.
Disebabkan itu juga saya pergi masuk kelas vokal dan kelas menari untuk perbaiki diri. Apa lagi yang boleh saya buat, saya hanya mampu baca komen netizen dan lihat saja.
Dalam pada itu, Nabila turut mengulas kenyataan yang pernah dikongsikannya sebelum ini berhubung sikap segelintir pihak yang gemar menilai artis berdasarkan kehidupan peribadi berbanding bakat dimiliki.
Saya tidak menyebelahi sesiapa, kenyataan itu cuma pendapat peribadi yang saya merasakan sangat tidak adil untuk sesiapa pun diadili dengan sebegitu.
Bila orang menyanyi kita dengar suara, kenapa kita tengok pada kehidupan peribadi mereka pula? Tidak kiralah berlaku kepada penyanyi atau pelakon.
Saya kurang bersetuju dengan tindakan menghakimi itu. Kalau boleh nak nasihat orang luar yang suka buat andaian sendiri berdasarkan kehidupan peribadi orang lain, kurang-kurangkanlah.
Selain Nabila, Sesaat Lebih yang bakal ditayangkan bermula 29 Januari turut dibintangi Alvn, Haziq Husni dan ramai lagi.








