Seorang penyanyi lelaki didakwa mencuri sebuah kamera ketika menghadiri undangan menyanyi di sebuah majlis perkahwinan, baru-baru ini.
Perkongsian di X
Penyanyi sendu @//adzrinamrddin ni dah takde duit sangat ke sampai mencuri camera orang kat kenduri yang dia dijemput untuk menyanyi? pic.twitter.com/6OGK9hNH1z
— nureen (@nureenimaan) February 15, 2025
Menerusi perkongsian di laman X (Twitter), Nureen Imaan mendakwa bahawa penyanyi yang pernah menyertai sebuah rancangan realiti itu cuba melarikan sebuah kamera ketika majlis berlangsung dengan cara menyembunyikannya di dalam poket seluar.
Awak tahu tak saya ada CCTV? Saya nampak dari CCTV, awak letak kamera tu dalam poket tak keluar-keluar.
Bagaimanapun, penyanyi lelaki yang berusia 25 tahun itu menafikan tuduhan tersebut sebaliknya mendakwa bahawa dia hanya meminjam kamera itu untuk digunakan sebagai ‘prop’ ketika bergambar.
Nureen turut mendakwa bahawa dia yakin penyanyi itu sememangnya berniat mencuri kamera tersebut. Ketika kejadian, dia sedang mencari kameranya yang hilang dan bertanyakan kepada semua orang, termasuk penyanyi berkenaan.
Namun penyanyi itu tidak memberitahu perkara sebenar bahawa dia telah ‘meminjam’ kamera tersebut.
Semasa saya mencari kamera itu, saya pergi tanya semua orang termasuklah dia, tapi apa yang dia jawab adalah ‘oh I ada nampak tadi dekat atas meja, hilang ke?’ dan bukannya mengatakan kamera itu digunakan sebagai prop.
Beraninya nak cuba mencuri di majlis perkahwinan yang kau sendiri dijemput untuk menyanyi? Lagi pula kau tu dikenali ramai. Berani betul.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Nureen telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu atau sebaliknya.
Sehingga artikel ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak penyanyi terbabit.
Sumber: Nureen Iman