
Penyanyi, Iman Troye berharap orang ramai mengambil pendekatan yang lebih positif terhadap pencipta kandungan yang berkongsi video pengalaman mereka berdepan situasi cemas di media sosial.
Artikel Berkaitan: ‘Kita Tiada Anak, Tak Tahu Rasa Sakit’ – Iman Troye Pertahan Ryzal Ibrahim, Anggap Video Detik Cemas Sebagai Rujukan Doktor
Artikel Berkaitan: Detik Cemas Ryzal Ibrahim & Maryam, Anak Tak Sedarkan Diri Selepas Jatuh Katil – ‘Kuat Dia Nangis Lepas Tu Diam’
Sudut positif

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 24, berkata video yang dikongsikan itu boleh dijadikan sebagai teladan.
Malah kata Iman, secara tidak langsung mampu memberi panduan kepada orang ramai tentang cara bertindak sekiranya berdepan situasi cemas atau getir.
Bila ada komen yang rasanya kurang sesuai ditinggalkan dan turut mempersoalkan tindakan Abang Ryzal yang memuat naik di semua platform media sosial, saya fikir perkongsian itu ada kebaikan juga.
Bagi saya, kita kena lihat pada sisi positif.
Kalau menegur itu kenalah dengan cara yang baik sebab kita sesama manusia ini tidak pernah lari daripada buat silap. Tetapi, jangan pula senang-senang terus kita menghukum.
Video Abang Ryzal itu sebenarnya cuba memberi kesedaran kepada orang dewasa atau ibu bapa tentang apa yang patut dilakukan ketika berada dalam situasi seperti itu.
Iman berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Spotlight KL di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Bagaimanapun, Iman tidak menafikan perkara itu adalah isu yang sensitif untuk dibincangkan namun penerimaan tersebut berbeza-beza mengikut pertimbangan setiap orang.
Dalam soal begini, kita pun tidak boleh paksa orang yang ada pendapat A untuk ikut pendapat B dan sebaliknya.
Semua itu hak masing-masing dan kita cuba melihat pada sisi lain yang positif sahaja. Ada tindakan baiknya.
Apapun, saya sendiri memang belajar sesuatu daripada video itu.
Kalau terjadi kepada anak, kena tahu apa yang perlu dibuat dan perkara tidak boleh dibuat sementara menunggu rawatan kecemasan. Yang baik kita ambil, yang buruk ketepikan.
Dalam perkembangan lain, Iman menjadi salah seorang penyanyi yang akan membuat persembahan menerusi konsert Spotlight KL di Plenary Theatre, KLCC pada 22 Ogos dan 12 September depan.
Konsert dibawakan HiFive Entertainment dengan kerjasama KLCC itu turut menampilkan penyanyi seperti Noryn Aziz, Aizat Amdan, Sekumpulan Orang Gila (SOG), Orked Farhan dan Imran Ajmain.








