Pelakon, Que Haidar menyifatkan hubungannya bersama rakan seperjuangannya, Fazura hanyalah sekadar sahabat.

Artikel Berkaitan: ‘Ramai Jatuh Hati Kalau Bersemuka, Bukan Dibuat Tapi Itulah Dia’ – Pengarah Dedah Personaliti Que Haidar

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fazura Puji Que Haidar ‘Gentleman’ – ‘Selalu Saya Yang Ambilkan Air’

Sahabat

Ketika ditemui OhBulan!, Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, berkata mereka memasuki industri hiburan pada tempoh yang hampir sama.

Memang kami bersahabat. Fazura ialah sahabat lama yang sudah lama tidak berjumpa dan kami memasuki industri ini dalam tempoh yang lebih kurang sama.

Pada tahun yang sama juga kami pernah tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Harapan. Saya menerusi filem KL Menjerit, manakala dia pula melalui filem Bicara Hati.

Que berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Raya Astro 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, Que juga tidak menafikan pertemuan semula itu membuatkannya berasa sedikit segan dengan Fazura kerana sudah lama tidak berjumpa dengannya.

Bila jumpa semula, mestilah ada rasa malu-malu. Maklumlah saya sudah lama meninggalkan industri.

Kadang-kadang saya terfikir juga, ‘wow, besarnya nama awak sekarang’, sedangkan saya rasa nama saya kecil sahaja.

Reaksi peminat

Ketika ditanya mengenai reaksi peminat yang suka melihat kemesraan mereka, pelakon drama Paksu Ammara itu menganggap sekadar perkara ringan yang mungkin menghiburkan sesetengah pihak.

Kalau orang gembira, Alhamdulillah. Kalau perkara ‘kenen-kenen’ ini buat orang gembira atau boleh hilangkan keresahan mereka, saya okey sahaja.

Kita tidak perlu fikir terlalu berat. Kalau saya beratkan, ia jadi berat. Kalau saya ringankan, ia jadi ringan. Jadi saya layan sahaja.

Sebelum ini, nama Que dan Fazura menjadi bualan hangat di media sosial selepas mempamerkan keakraban di media sosial.

Lebih menarik perhatian, Que juga pernah menghadiahkan sejambak bunga mawar kepada Fazura sehingga tercetusnya tanda pagar khas #QueLaFaz.