berita

[VIDEO] Rempuh 5 Kereta Dari Belakang, Pemandu Lori Positif Dadah

September 7th, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Foto: Tangkap layar video

Sejak semalam, viral sebuah video pendek memaparkan sebuah lori yang melanggar lima kenderaan lain daripada arah belakang di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Lapor Harian Metro, kejadian tersebut berlaku 2.40 petang, dan pemandu lori tersebut disahkan positif dadah.

Video kejadian

Ujar Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, lima kenderaan yang terlibat adalah dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL.

Siasatan awal dilakukan mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul. Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori terbabit gagal dikawal dan merempuh dengan laju lima kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Pemandu empat kenderaan yang lain, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah mendapatkan rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang.

Pemandu sebuah daripada Perodua Myvi berkenaan yang berusia 45 tahun hanya mengalami cedera ringan di bahagian muka dan mendapatkan rawatan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pemandu lori ditahan

Foto: Tangkap layar video

Mengulas lebih lanjut, pemandu lori itu juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi siasatan lanjut. Selepas suspek menjalani ujian saringan awal kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamin.

Hasil ujian awal alkohol dilakukan mendapati pemandu tidak dalam pengaruh alkohol.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Harian Metro & Sukan Star

SKIP THIS AD ×