Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman tidak menganggap pengalaman berdepan proses perundangan serta menjalani rawatan di Hospital Bahagia sebagai sesuatu perkara yang memalukan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tak Dapat Digambarkan Dengan Kata-Kata, Berada Di Penjara Adalah Pengalaman Paling Teruk Saya Lalui’ – Yasin Sulaiman

Yasin Sulaiman kesal

Walau bagaimanapun, Yasin atau nama lengkapnya Muhammad Yasin Sulaiman, 51, mengakui kesal akan perbuatannya sebelum ini kerana telah melanggar undang-undang di Malaysia.

Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai penjenayah. Oleh itu, saya tidak berasa malu, Sudah tentu saya kesal dan menyesal kerana telah melanggar undang-undang.

Kita hidup di Malaysia, ada undang-undang. Kita juga ada Rukun Negara yang mana kita perlu menjunjung kedaulatan undang-undang. 

Jadi, saya memang sudah melakukan kesalahan. Tetapi dalam saya melakukan kesalahan itu, niat saya baik.

Yasin berkata demikian pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya, Yang Tinggal bersama Zizi Kirana dan Malique yang berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Ditanya mengenai keterbukaannya selepas melalui fasa tersebut, pelantun lagu Mimpi Laila itu mengakui tidak berasa malu dengan apa yang dilaluinya, malah tidak akan menjadikan pengalaman itu sebagai penghalang untuk terus melangkah ke hadapan.

Buat apa nak malu? Saya tidak melakukan jenayah. Jadi, saya tahu bahawa saya bukan seorang penjenayah dan apa yang saya lakukan itu bukan satu jenayah.

Kes saya tidak mempunyai mangsa. Bagaimana saya hendak dianggap sebagai penjenayah kalau tiada mangsa? Kalau jenayah itu berlaku, mesti ada mangsa. 

Bunuh orang, curi duit dan aniaya orang, itu jenayah. Jadi, kes saya ini tidak mempunyai mangsa.

Dalam pada itu, Yasin berkata apa yang dilaluinya itu membuatkan dia kini lebih berhati-hati dalam setiap tindakan mahupun mempercayai orang sekeliling.

Malah berjanji tidak akan sama sekali melanggar undang-undang negara.

Daripada apa yang berlaku, saya tidak akan melanggar undang-undang lagi.

Saya tidak akan melanggar mana-mana undang-undang di Malaysia, sama ada undang-undang itu betul atau tidak, tidak berapa baik atau sebagainya. 

Janji ia adalah undang-undang, saya tidak akan melanggarnya. Walaupun lampu isyarat merah.

Terdahulu, Yasin dibenarkan pulang selepas menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Untuk rekod, pada 28 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan Yasin dan mengetepikan hukuman yang sebelum ini dijatuhkan terhadapnya.

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan diarahkan untuk ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadap Yasin selepas dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.