Penyanyi Aina Abdul meluahkan rasa teruja dengan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk rakan selebriti sepanjang menyertai Eurovision Song Contest Asia 2026.

Artikel Berkaitan: ‘Segala Yang Dipersembahkan Bukan Atas Kehendak Sesiapa, Itu Karya Saya’ – Aina Abdul

Artikel Berkaitan: Eurovision 2026: Aina Abdul Seru Rakyat Malaysia Beri Sokongan – ‘Tak Kisahlah Anda Minat Saya Atau Tidak’

Aina Abdul tak sangka terima sokongan

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani, 33, mengakui tidak pernah menerima sokongan sebesar itu sepanjang bergelar anak seni.

Malah, situasi itu sedikit sebanyak memberikan tekanan kepadanya.

Saya takut sebenarnya bila saya tengok terlalu ramai yang menyokong sebab perkara itu sedikit sebanyak beri saya tekanan juga.

Ramai orang ucap ‘good luck’ dan sepanjang hidup, saya tak pernah melalui pengalaman seperti itu jadi saya tak tahu nak lalui macam mana. 

Ia agak membebankan emosi saya kerana terasa seperti semua orang mengharapkan sesuatu daripada saya.

Aina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena pembabitannya menerusi Eurovision Song Contest Asia 2026 di Balai Berita Bangsar pada Khamis.

Bagaimanapun, pelantun lagu Bluest Sky itu menghargai dan menganggap setiap sokongan itu sebagai tanda keprihatinan orang ramai buat dirinya.

Tapi saya menganggap sokongan itu sebagai doa daripada rakan-rakan artis.

Selepas pertandingan ada yang mesej dan tanya keadaan saya, terima kasih sebab ambil berat dan risaukan keadaan saya.

Mengulas mengenai ucapan daripada Perdana Menteri Malaysia, Aina meluahkan rasa terharu kerana tidak menyangka Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengikuti perkembangan penyertaannya dalam pertandingan berkenaan.

Saya sendiri tertanya-tanya sama ada perkara itu benar-benar berlaku kerana tidak sangka beliau turut memberikan ucapan sokongan kepada saya. 

Saya terfikir, banyak lagi perkara yang perlu diberikan perhatian oleh beliau.

Saya juga sedikit bimbang kerana peminat terlalu mendesak sehingga Perdana Menteri mungkin terpaksa menyampaikan ucapan itu. 

Namun, apa pun, terima kasih banyak-banyak atas sokongan diberikan.

Meskipun tidak berjaya meraih kedudukan dalam kelompok tiga terbaik, Aina tetap bersyukur dengan pencapaian yang diperoleh dan berharap keputusan tersebut dapat membanggakan semua pihak.