![[VIDEO] Tak Perlu Gimik, Konsert ‘Spider Unplugged’ Bikin Peminat Teruja Sampai Panjat Kerusi!](https://asset.ohbulan.com/2025/10/spider-33.jpg)
Kehadiran lebih 3,000 peminat yang memenuhi setiap ruang Mega Star Arena pada Sabtu lalu membuktikan keunggulan dan kemegahan kumpulan muzik legenda, Spider menerusi konsert mereka iaitu ‘Spider Unplugged’.
Artikel Berkaitan: Spider Jaga Hubungan Sesama Anggota, Hampir 3 Dekad Dalam Industri – ‘Kalau Tak Ada Ketelusan Maka Ia Akan Jadi Separuh Jalan’
Artikel Berkaitan: ‘Pertempuran’ 3 Dekad! SPIDER Keluar Dari Sarang Bakal Live In Kuala Lumpur 22 Jun 2024
Konsep unplugged

Berbeza dengan persembahan sebelum ini, Spider pada konsert tersebut tampil dengan konsep ‘unplugged’ iaitu tanpa menggunakan alat atau efek muzik elektronik.
Menurut wakil pengajur Naga Legend Entertainment iaitu Fandy Alias, konsert tersebut semestinya telah memberikan pengalaman berbeza kepada para penonton.
Konsep unplugged yang dibawakan ini adalah yang pertama kali kami tampilkan bersama Spider.
Tentu sahaja hasilnya akan ‘mewah’, tersendiri serta akan menjadi momen terbaik yang pernah disaksikan oleh peminat Spider.
Nostalgia
Spider yang diterajui oleh Tam (vokal), Aie (drum), Iss (bass) dan Pown (gitar), telah mempersembahkan 24 buah lagu pada malam konsert itu dengan durasi masa lebih dua jam.
Tidak perlu gimik yang keterlaluan, namun setiap penyampaian lagu yang dipersembahkan menusuk ke jiwa peminat.
Pentas dibuka pada jam 8.30 malam dengan persembahan lagu-lagu seperti Rasakan Sesapkan, Kau Saja, Kacap Terlabik dan Sumpah Tak Buat Lagi.
Aura Spider semakin menyerlah apabila lagu Bila Nak Saksi, Laukku Cukup Masin, Telinga Ke Tulang dan Mabuk, Ngam Ho didendangkan.
Lagu Relaku Pujuk yang merupakan antara lagu popular kugiran itu turut berjaya membuatkan para peminat terbuai dalam nostalgia kisah cinta mereka.
Peminat ‘sing along’

Suasana menjadi lebih meriah dan intim apabila vokalis berasal dari negeri Johor itu meminta penonton untuk maju ke hadapan dan berdiri sambil bersama-sama menyanyikan karya-karya terkenal kumpulan Spider iaitu Aladin, Cinta Dewa Dewi, Nazraku dan Mungkinkah Terjadi.
Momen itu merubah suasana menjadi lautan suara dan emosi, di mana semua peminat larut di dalam rentak muzik, malah ada juga yang sanggup memanjat kerusi.
Sementara itu, Tam atau nama sebenarnya Rustam Mustafah, 51, terus membuktikan kemampuan vokalnya dalam kelas tersendiri meskipun rata-rata lagu yang didendangkan dalam keadaan santai dan duduk sambil memetik gitar.
Walaupun tanpa gerak pentas yang berlebihan, karisma Tam tetap memukau sekaligus menguasai setiap persembahan dengan pesonanya, manakala peminat pula seolah-olah tidak terusik dengan berlalunya waktu.
Fesyen konsert

Selain daripada persembahan bertenaga, tinjauan OhBulan! mendapati rata-rata peminat Spider yang hadir pada malam tersebut juga mengenakan pakaian mereka menepati dress code iaitu denim jeans, baju putih dan kasut sneakers.
Selain itu, ada juga peminat yang menambah sentuhan peribadi pada gaya masing-masing seperti mengenakan jaket, topi dan aksesori sesuai dengan tema pada konsert tersebut.
Keseluruhannya, konsert ‘Spider Unplugged’ bukan sahaja diwarnai dengan vokal dan muzik yang mantap tetapi sorakan peminat membuktikan bahawa kumpulan di bawah naugan label Luncai Emas, yang diberikan kebebasan penuh untuk berkarya oleh Datuk M.Nasir itu kekal relavan sehingga ke hari ini.







![[VIDEO] Individu Tegur Penampilan Nampak Dewasa, Thalita Bidas – ‘Saya Duduk Atas Pentas, Makeup Kena Tebal’](https://asset.ohbulan.com/2026/07/thalita-1.jpg)
