![[VIDEO] The Lantis Berjaya Tawan Hati Peminat, Teruja Buat Persembahan Di Kuala Lumpur](https://asset.ohbulan.com/2025/07/the-lantis.jpg)
Band retro-pop dari Jakarta Selatan, The Lantis, secara rasmi memulakan langkah debut antarabangsa mereka menerusi penglibatan dalam Konsert Jiwa Kacau yang berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ramai peminat Malaysia

Terdiri daripada tiga anggota iaitu Giri (vokalis), Ravi dan Ojan (kedua-duanya gitaris), The Lantis berkongsi pentas dengan nama-nama besar dari Indonesia dan Malaysia seperti Wali, Kerispatih, Hujan, Bunkface dan Spider, sekali gus mencuri perhatian peminat serantau.
Walaupun masih baharu di pasaran Malaysia, The Lantis berjaya mencetuskan impak menerusi senarai lagu yang dekat di hati pendengar serta interaksi mesra bersama penonton.
Antara lagu yang dibawakan termasuk ‘Bunga Maaf’, ‘Ambang Rindu’, dan ‘Lampu Merah’, yang menerima sambutan hangat dan dinyanyikan bersama oleh ribuan peminat.
Menariknya, lagu ‘Bunga Maaf’ yang dilancarkan pada November 2024, masih bertahan dalam carta Top Songs Malaysia dan kini berada di kedudukan ke-46.
Kebahagiaan berharga

Menurut Giri, Ravi dan Ojan, mereka bersyukur kerana akhirnya impian untuk memperluaskan muzik mereka ke negara seberang akhirnya tercapai.
Mimpi ini menjadi kenyataan. Kami akhirnya tampil di sini dan disambut begitu hangat oleh penonton Malaysia.
Satu kebahagiaan yang tak mampu kami ungkapkan dengan kata-kata.
Sekadar info, The Lantis mula ditubuhkan pada tahun 2020. The Lantis mencipta nama melalui lagu ‘Lampu Merah’, yang menjadi tular dengan lebih 96 juta penstriman di pelbagai platform digital.
Empat tahun kemudian, mereka hadir dengan ‘Bunga Maaf’ yang kini mencatat lebih 161 juta penstriman sekaligus memperkukuh kedudukan mereka dalam industri muzik Indonesia.
Selain itu, mereka turut memeriahkan pementasan ‘Musikal Keluarga Cemara 2025’ dengan menyampaikan lagu ‘Seperti Cemara’, yang turut dimuatkan dalam album kompilasi ‘Lagu-Lagu Cemara (2025)’ yang dilancarkan pada Jun lalu.








