Pengacara Uyaina Arsyad memberikan respon berhubung kenyataannya berkenaan isu merancang keluarga atau ‘pejuang garis satu’ yang telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Artikel Berkaitan: ‘Adakah Akan Terus Hidup Atau Nyawa Berganti’ – Uyaina Arshad Mohon Doa Proses Bersalin Dipermudah

Artikel Berkaitan: Uyaina Arshad Akui Takut Nak Bersalin, Perut Bakal Dibedah Kali Ketiga – ‘Rasa Macam Nak Pergi Berperang’

Penjelasan Uyaina

Ketika ditemui OhBulan!, Uyaina atau nama lengkapnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, menjelaskan bahawa wujud golongan wanita termasuk dirinya yang merupakan ‘pejuang garis satu’.

Saya rasa ramai orang seperti saya. Kita berjuang untuk tidak mengandung, sama ada secara manual ataupun dengan bantuan alat perancang. 

Setiap kali buat ujian kehamilan saya akan harap, janganlah ada garis dua sebab waktu awal-awal dulu memang merancang secara manual.

Bagaimanapun, Uyaina sama sekali tidak pernah mengecilkan usaha wanita-wanita yang sedang mencuba untuk hamil atau istilah sering digunakan iaitu ‘pejuang garis dua’.

Saya ramai kawan-kawan pejuang garis dua yang sedang TTC (trying to conceive/ cuba untuk hamil) bertahun-tahun lamanya. Saya tak pernah cakap benda-benda yang buruk, malah saya sentiasa doakan untuk mereka.

Saya cuma fikir kalau ada pejuang garis dua, mesti ada pejuang garis satu. 

Uyaina berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama vertikal ‘My Ramadan Love Story’ yang berlangsung di Courtyard by Marriott, Kuala Lumpur pada Isnin.

Perjuangan masing-masing

Dalam masa sama, Uyaina menegaskan bahawa kenyataannya sebelum ini dibuat bukan bertujuan untuk menyinggung mana-mana pihak, namun hanya berkongsi perspektif mengenai realiti ‘pejuang garis satu’ yang mahu merancang kehamilan di atas faktor tertentu.

Tapi masing-masing ada pendapat masing-masing. Cuma hantaran saya itu bukan untuk melagakan mereka yang sedang berjuang untuk mendapatkan anak dengan mereka yang berjuang untuk merancang. 

Bukan nak bandingkan perjuangan siapa yang lebih teruk, perjuangan siapa yang lebih berat, atau siapa yang lebih menderita.

Hakikatnya, kita ada perjuangan masing-masing dan kita saja tahu apa yang sedang diperjuangkan.

Justeru, ibu kepada tiga orang anak ini berharap agar perkara tersebut tidak lagi disalah erti dan perbandingan di antara dua golongan ini dihentikan.

Jadi teruskan perjuangan masing-masing, tak perlu bandingkan antara satu sama lain. 

Cukup untuk kita bercakap baik dan doa yang baik-baik saja. Itulah niat saya buat hantaran itu, tapi mungkin ada yang tersalah tafsir.

Terdahulu, menerusi perkongsian di Threads, Uyaina menyatakan terdapat golongan wanita yang berusaha untuk tidak kembali hamil, namun itu bukan bermaksud dirinya menolak rezeki atau tidak bersyukur.