Suasana meriah program ibadah korban di perkarangan Masjid Ittifaqiah Taman Sri Inderapura (MITSI), Kuantan bertukar cemas apabila seorang warga emas patah tangan kiri selepas ditanduk seekor lembu, pada Rabu.

Artikel Berkaitan: ‘Terpaksa Kekal Clean Shaven Look, Semoga Allah Terima Ibadah Korban Aku’ – Amar Baharin

Ditanduk lembu

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika petugas terbabit sedang membantu mengikat lembu berkenaan sebelum proses penyembelihan dijalankan.

Bagaimanapun, haiwan seberat kira-kira 300 kilogram itu secara tiba-tiba bertindak agresif lalu menyerang mangsa sehingga menyebabkan lelaki terbabit terjatuh sebelum dihempap lembu berkenaan.

Insiden tersebut turut mengakibatkan seorang lagi petugas mengalami kecederaan ringan ketika cuba membantu mengawal keadaan.

Pengerusi MITSI, Ideris Abu Bakar berkata, mangsa yang cedera segera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut Abu Bakar, lembu terbabit akhirnya berjaya disembelih kira-kira jam 11 pagi selepas keadaan kembali terkawal.

Difahamkan, haiwan tersebut merupakan antara 17 ekor lembu yang dikorbankan di masjid berkenaan sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

VIDEO

@buletintv3 Warga emas patah pergelangan tangan kiri selepas ditanduk lembu yang mengamuk di perkarangan Masjid Ittifaqiah Taman Sri Inderapura (MITSI), Kuantan. Kejadian berlaku apabila petugas terbabit cuba mengikat lembu itu sebelum disembelih. Bagaimanapun haiwan itu bertindak agresif menyebabkan lelaki terbabit terjatuh sebelum lembu itu menghempap mangsa. #BuletinTV3 #LembuKorban #Aidiladha #PatahTangan ♬ original sound – BuletinTV3

Sumber: Buletin TV3, Berita Harian