![[VIDEO] Zed Zaidi Lega Teguran Diterima Baik, Pelakon Baharu Mula Beramah Mesra](https://asset.ohbulan.com/2025/11/zed-dua.jpg)
Pelakon dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi mengakui berpuas hati apabila tegurannya berhubung sikap pelakon baharu yang didakwa tidak menghormati pelakon veteran mula diterima baik dan memberi impak positif.
Artikel Berkaitan: Seniman Gesa Sarah Yasmine Berhenti Rosakkan Imej Artis Malaysia! Seru Nama Yang Dipetik Buat Laporan Polis & SKMM
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Buka Aib Orang, Dianggap Hebat..Murah Sangat Maruah? Kasihan Mak Bapak Kau’ – Zed Zaidi
Lebih mesra

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Rozaidi Abdul Jamil, 45, berkata dia menyedari ramai pelakon muda kini tampil lebih mesra di lokasi penggambaran sejak kenyataannya tular.
Saya tegur secara umum saja. Selepas saja kejadian itu mereka tunjuk hormat, baguslah maksudnya ada impak.
Daripada impak media saja, sudah berjuta orang menonton kerana perkara itu pernah terjadi pada saya.
Mereka (pelakon baharu) kena faham, sistem yang mereka amalkan di media sosial berbeza dengan sistem kerja dalam industri kreatif.
Zed berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran filem terbaharunya, Zero, di Pavilion Bukit Bintang, pada malam Isnin.
Mengulas lebih lanjut, pelakon filem Niyang Rapik menekankan sikap saling menghormati antara satu sama lain amat penting supaya proses penggambaran dapat berjalan lancar.
Dalam industri ini, para pelakon kena saling menghormati dan bekerjasama supaya tidak menyusahkan orang lain.
Jangan rasa diri terlalu hebat. Kita bersama-sama bekerjasama untuk menjayakan sesuatu karya. Itu yang paling penting.
Tidak kira muda atau tua.
Teguran berhasil

Kata Zed, impak daripada tegurannya bukan saja memberi kebaikan untuk dirinya malah untuk pelakon-pelakon lama yang sudah lama menyuarakan tentang isu ini.
Impaknya bukan untuk saya saja, tetapi kepada yang lain juga khususnya veteran kerana ramai yang mengadu.
Jadi, pelakon baharu ini mula faham yang hormat-menghormati sesama kita dalam industri sangat penting.
Tetapi apa-apa pun, dalam industri ini, kita perlu jaga diri, jaga imej dan jaga maruah industri kreatif.
Sebelum ini, Zed meluahkan rasa kurang senang apabila berdepan dengan pelakon baharu yang didakwa tidak menghormati pelakon senior ketika berada di set penggambaran.
Dalam perkembangan lain, Zed dijangka akan membuat kemunculan semula ke layar perak melalui Zero, sebuah filem aksi arahan Andre Chiew yang akan memulakan penggambaran pada hujung bulan ini.
Filem bertemakan isu sindiket penjualan organ itu turut menghimpunkan barisan pelakon seperti Hun Haqeem, Fabian Loo, Harissa Adlynn, Iedil Dzuhrie Alaudin, Tony Eusoff serta beberapa nama lain.








