![[VIDEO] Ziana Zain Tak Ambil Pusing Komen Negatif – ‘Sebenarnya Mereka Yang Tak Gembira’](https://asset.ohbulan.com/2025/12/befunky_2025-11-1_13-50-15.jpg)
Penyanyi terkenal, Ziana Zain kesal dengan segelintir pengguna media sosial yang dilihat gemar melemparkan tomahan serta komen melampau terhadap golongan selebriti.
Artikel Berkaitan: Arwah Ayah Tulang Belakang Ziana Zain – ‘Dia Yang Ajar Saya Menyanyi’
Artikel Berkaitan: ‘Sembilu The Reunion Live In Concert’ Bawa Awie, Erra Fazira & Ziana Zain Kembali Hidupkan Nostalgia Ikonik
Tak layan
Ketika ditemui OhBulan!, Ziana atau nama lengkapnya Siti Roziana Zain, 57, mengakui dirinya turut tidak terlepas daripada kritikan warganet.
Bagaimanapun, Ziana memilih untuk tidak mengendahkan komen-komen negatif malah ia langsung tidak memberi kesan terhadap dirinya.
Pada pandangan saya, individu-individu yang suka datang menyerang orang lain mereka sebenarnya tidak gembira. Mereka juga mungkin rasa tidak puas hati apabila melihat orang lain bahagia.
Ada juga yang melampau, tetapi pada saya..suka hati kaulah. Kalau dia nak jadi begitu, terpulang tetapi ia langsung tidak menyakitkan saya.
Saya tak ada masa nak layan perkara sebegitu, banyak lagi benda lain yang saya boleh buat. Ia hanya merosakkan minda sebab makin dilayan, makin mereka suka.
Ziana berkata demikian ketika ditemui di sidang media Sembilu The Reunion Live in Concert yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.
Guna dengan baik
Sementara itu, pelantun lagu Senja Nan Merah berpendapat, meskipun kebebasan bersuara boleh diamalkan namun ia perlu disertai dengan rasa tanggungjawab agar tidak menyinggung mana-mana pihak.
Dahulu tak ada teknologi atau media sosial macam sekarang yang mana orang suka untuk meluah.
Walaupun ada freedom of speech tapi kena tengok topik juga, tak boleh guna untuk mengutuk orang.
Justeru, Ziana menasihati orang ramai supaya menerapkan adab sopan dengan tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen negatif.
Saya sentiasa memaafkan mereka, cuma saya takut ia menjadi ikutan generasi muda sekarang ini. Kena sentiasa ingat, anda ada adik-adik dan anak-anak.
Saya tidak mahu ia menjadi satu ikutan yang berlarutan, itu tidak sihat. Kita ada tanggungjawab kepada masyarakat untuk mendidik mereka sentiasa berfikiran positif.
Kita orang Melayu dan Islam, maka perlu beradab.