berita

Viral Gambar Pasangan Pakai Gelang ‘Pink’ Di Tempat Awam, Lepas Disiasat Rupa-Rupanya…

August 4th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Gara-gara memakai gelang merah jambu dan berada di kawasan parkir Bukit Bendera, dua individu telah disalah tafsir oleh orang ramai dengan menyangka mereka berstatus di bawah Pengawasan (PUS) Covid-19.

Tetapi lain pula yang jadinya apabila sebenarnya gelang yang dipakai mereka adalah gelang daripada sebuah kedai haiwan peliharaan dengan tulisan ‘Husky And The Gang’.

Orang awam buat aduan

Menerusi laporan yang dipetik daripada Berita Harian, pada 2 Ogos 2020 yang lalu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, orang awam telah mengambil gambar pasangan berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Siasatan mendapati, lelaki berusia 21 tahun itu bekerja sebagai operator kilang dan tinggal di Permatang Tengah, Butterworth.

Manakala wanita berusia 22 tahun dari Sungai Puyu, Butterworth itu pula bekerja sebagai pembantu kedai dan mereka adalah pasangan kekasih serta tiada rekod jenayah lampau.

Tidak pernah ke luar negara

Difahamkan, pasangan terbabit mengakui bahawa mereka adalah individu yang di dalam gambar berkenaan dan memaklumkan tidak pernah ke luar negara. Mereka mendakwa telah dipakaikan gelang terbabit selepas pergi ke kedai haiwan peliharaan di New World Park.

Mereka berada di kaunter stesen keretapi Bukit Bendera pada jam 3 petang pada hari berkenaan dan menunggu giliran selama satu jam bagi membeli tiket. Berikutan menunggu terlalu lama, mereka mengambil keputusan untuk beredar sebelum pergi ke pusat beli belah Queensbay.

Oleh kerana mereka ingin kembali ke kedai tersebut pada sebelah malam, mereka tidak menanggalkan gelang itu kerana premis itu membenarkan pengunjung yang telah datang ke premis untuk masuk semula dengan syarat memakai gelang berkenaan.

Nama kedua-dua individu terbabit tidak tersenarai dalam tiada dalam senarai pesakit dalam pemantauan (PUS) atau diarahkan menjalani kuarantin di rumah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Malah mereka turut disahkan negatif Covid-19.

Sumber: Berita Harian, Sinar Harian

SKIP THIS AD ×