Video berdurasi enam saat memaparkan sebuah kenderaan melanggar penghadang jalan viral di laman sosial. Menerusi rakaman tersebut dapat dilihat pemandu gagal mengawal kenderaan menyebabkan kemalangan.
Walau bagaimanapun, pihak polis telah tampil mendedahkan hal sebenar sekaligus menafikan dakwaan ada pihak mencurah minyak di kawasan terbabit.
Elak lopak air
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata kemalangan di Lebuhraya Persekutuan berhampiran susur Subang Jaya itu berlaku pada 17 Julai lalu.
Kejadian itu berlaku pada 1 pagi apabila pemandu Honda Insight Hybrid membabitkan seorang wanita gagal mengelak lopak air.
Siasatan lanjut serta keterangan saksi yang membantu mangsa menyatakan tidak berlaku kes khianat tuang minyak di permukaan jalan raya.
Orang ramai diseru supaya lebih berintegriti dalam menyebar berita dan berbudi luhur dalam membina masyarakat yang harmoni.
Berita yang belum disahkan kesahihannya mudah menarik perhatian umum serta mampu mengundang kegusaran umum khususnya pengguna yang sering menggunakan jalan raya di lokasi kejadian.
Tambahnya, pihaknya masih belum mengenalpasti perakam dan sumber video yang ditularkan. Beliau turut menasihati orang ramai supaya memastikan kesahihan sebelum menyebarkan berita.
Sumber : Harian Metro