
Setiap kali tirai Anugerah Juara Lagu (AJL) berlabuh, media sosial pasti akan meriah dengan perdebatan netizen. Salah satu topik yang tidak pernah sunyi: “Penyanyi A lagi layak menang Vokal Terbaik, sebab dia tarik tinggi!” atau “Lagu B bosan, tak ada klimaks menjerit.”
Realitinya, seni muzik dan vokal adalah jauh lebih kompleks daripada sekadar mengukur siapa yang boleh menyanyi pada nota paling tinggi. Stigma penyanyi perlu ‘menjerit’ atau melakukan akrobatik vokal (belting) untuk memenangi hati juri dan penonton masih menebal.
Persoalannya, mengapakah mentaliti ini masih wujud dalam kalangan pendengar muzik tempatan?
Artikel Berkaitan: AJL40: 8 Daripada 10 Finalis Terlibat Cipta Karya Sendiri, Apa Yang Berubah Dalam Lanskap Muzik Malaysia Hari Ini?
Artikel Berkaitan: Antara Algoritma & Nilai Seni, Kenapa Lagu Viral Belum Tentu Terbaik Di AJL?
Asal Usul Sindrom ‘Power Ballad’ di Malaysia
Kepercayaan vokal yang bagus mesti disusuli dengan nota tinggi tidak lahir daripada ruang kosong. Ia dibentuk oleh sejarah industri muzik kita sendiri.
Era 90-an dan 2000-an: Industri muzik Malaysia pernah didominasi oleh genre power ballad. Ikon seperti Ziana Zain, Jaclyn Victor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar dan kemudiannya diteruskan oleh generasi seperti Hafiz Suip, Aina Abdul, dan Ernie Zakri telah meletakkan penanda aras yang sangat tinggi.
Formula Klimaks Lagu: Komposer sering menggunakan nota tinggi sebagai alat untuk mencipta klimaks dramatik di hujung lagu. Apabila formula ini berjaya memenangi pelbagai anugerah selama berdekad-dekad, penonton secara separa sedar mula menganggap nada tinggi adalah vokal berkualiti.
Definisi Sebenar ‘Vokal Terbaik’ di Mata Juri Profesional
Penonton sering kali menyamakan kekuatan suara dan ketinggian nada sebagai kualiti vokal utama. Namun, bagi juri profesional, penilaian vokal mengambil kira elemen teknikal yang jauh lebih teknikal dan halus.
Penceritaan (Storytelling) & Emosi: Vokal adalah instrumen untuk bercerita. Penyanyi yang hebat mampu membuatkan penonton merasai kepedihan atau kegembiraan lirik tanpa perlu berteriak. Emosi yang sampai ke jiwa pendengar adalah markah bonus yang sangat besar.
Kawalan Dinamik: Kemampuan untuk beralih daripada nyanyian berbisik kepada lantang secara lancar, dan sebaliknya. Menyanyi dengan nada rendah yang stabil dan bernafas (breathy) kadangkala jauh lebih sukar berbanding melontarkan nota tinggi.
Pitching (Ketepatan Nada): Tidak guna menyanyi di awan biru jika nadanya sumbang. Ketepatan nada dari awal hingga akhir persembahan adalah kriteria paling asas.
Tone & Resonans: Warna suara yang unik dan teknik pernafasan yang betul memainkan peranan penting. Suara yang sihat (tidak tegang atau ‘meneran’ di leher) akan kedengaran lebih sedap.
Aina Abdul Menang Bukan Kerana Nota Tinggi Semata-Mata
AJL38 memberikan contoh yang cukup jelas. Ketika penyanyi, Aina Abdul memenangi kategori Vokal Terbaik menerusi Jangan Mati Rasa Itu, ketua juri Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan antara kekuatannya ialah konsistensi nyanyian dari awal hingga akhir, selain kemampuan mengendalikan lagu yang mempunyai perubahan kord dan tahap kesukaran tinggi.
Ini bermakna kemenangan Aina bukan semata-mata kerana dia mampu mencapai nota tinggi. Lebih penting ialah bagaimana dia mengawal keseluruhan persembahan.
Malah Mokhzani turut mengingatkan penyanyi supaya tidak terlalu memaksa diri melakukan terlalu banyak perubahan hanya untuk menghasilkan momen besar di atas pentas.
Menurutnya, apabila penyanyi terlalu ‘menjerit’, mereka boleh memerangkap diri sendiri sekiranya gagal mengekalkan konsistensi.
Setahun Kemudian, Ernie Zakri Pula Menang Kerana Teknik
Situasi hampir sama dapat dilihat pada AJL39 apabila penyanyi Ernie Zakri memenangi Vokal Terbaik menerusi Aura.
Ketua juri Edry Abdul Halim menjelaskan kelebihan Ernie datang daripada teknik vokal yang digunakan sepanjang lagu, termasuk penggunaan runs dan beberapa teknik lain.
Malah, persaingannya dengan Aina Abdul dan Nadeera dilaporkan sangat sengit sehingga perbezaan markah antara mereka boleh menjadi sekecil satu mata.
Sekali lagi, fokusnya bukan pada siapa mampu menyanyi paling tinggi. Sebaliknya, perkara seperti teknik, kawalan dan cara penyanyi mengendalikan lagu menjadi penentu.
Ini menunjukkan apabila penyanyi sudah berada pada tahap vokal yang tinggi, kemenangan tidak semestinya ditentukan oleh satu nota paling ekstrem.
Miskonsepsi AJL: Lagu vs Penyanyi
Kita juga sering terlupa akan satu fakta asas: Anugerah Juara Lagu adalah pertandingan untuk mencari lagu terbaik, bukannya pertandingan nyanyian.
Walaupun terdapat kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik, anugerah utama (Juara Lagu) dinilai berdasarkan struktur komposisi, melodi, lirik, dan gubahan lagu tersebut.
Apabila penyanyi, Amir Jahari diangkat sebagai Juara Lagu ke-38 menerusi lagu Hasrat, ia merupakan satu tamparan positif kepada industri dan pendengar.
Lagu Hasrat tidak memerlukan Amir untuk ‘menjerit’ atau mempamerkan kelebihan vokal. Kemenangannya didorong oleh kejujuran melodi, kekuatan lirik, dan penyampaian yang sangat menusuk jiwa. Ini membuktikan juri AJL menilai keindahan muzik secara holistik.
Vokal tinggi dan belting sememangnya memerlukan latihan, anugerah tuhan, dan disiplin yang tinggi. Kita tidak menafikan kehebatannya. Namun, vokal yang tinggi bukanlah segalanya.
Sebuah persembahan di pentas gah seperti AJL tidak semestinya perlu diakhiri dengan jeritan memecah panggung untuk bergelar juara. Pada penghujungnya, suara yang kekal dalam ingatan penonton adalah suara yang berjaya menembus masuk ke dalam hati, bukan sekadar yang memecahkan gegendang telinga.
Dihoskan oleh Naz Rahman dan Sissy Imann, jangan lupa saksikan 10 lagu terbaik berentap di AJL 40 pada Sabtu, 15 Ogos ini di TV3 dan strim secara langsung di Tonton.







![[VIDEO] Khairul Aming Bagi ‘Tips’ Kurus, Mohon Jangan Stres ‘Cut’ Makan – ‘Ambil Yang Kita Boleh Konsisten’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/KA-25.jpg)
