Walaupun drama Masih Ada Rindu sudah lebih seminggu tamat bersiaran, nama pelakon utamanya Farid Kamil masih menjadi sebutan dalam kalangan peminat drama Melayu tempatan. Kehebatan lakonan dan pembawaan emosi Farid Kamil menerusi watak Hadi benar-benar meninggalkan kesan mendalam terhadap para penonton.
Syukur drama dapat sambutan
Sepanjang drama Masih Ada Rindu bersiaran, rata-rata netizen tidak henti memberi pujian buat Farid Kamil dan Mimi Lana kerana keserasian mereka jelas kelihatan. Bukan itu sahaja, Mimi Lana turut menganggap drama arahan Osman Ali ini merupakan satu penghargaan buat dirinya memandangkan Farid Kamil merupakan seorang pelakon filem yang jarang berlakon drama TV. Ujar Mimi, banyak perkara baharu yang dia dapat belajar dan ambil tahu ketika bergandingan dengan Farid Kamil.
Menerusi drama tersebut, Farid Kamil diberi tanggungjawab untuk membawa watak Hakim dan kembarnya Hadi, manakala Mimi Lana diberi tanggungjawab untuk membawa watak Syafika. Menurut Farid Kamil pula, drama ‘Masih Ada Rindu’ ini boleh dikatakan ‘comeback’ buat dirinya selepas sekian lama berehat daripada industri seni. Meskipun terpaksa berdepan dengan beberapa kekangan dek pandemik Covid-19, Farid Kamil turut meluahkan rasa syukur apabila penggambaran drama tersebut berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik daripada para penonton.
Harap ada lagi lakonan Farid Kamil
View this post on Instagram
Di Instagram, Farid Kamil bertanya kepada para penonton mengenai perasaan mereka setelah menonton ‘ending‘ drama Masih Ada Rindu. Menurut netizen, mereka sangat suka melihat lakonan Farid Kamil dan beberapa watak lain dalam drama tersebut. Mereka juga berharap, Farid Kamil akan terus berlakon dan tidak bersara daripada industri hiburan seperti yang viral di media sosial sebelum ini.
Sebelum ini, Farid Kamil pernah memberitahu bahawa dia sudah bersedia untuk bersara daripada industri hiburan pada bila-bila masa sahaja. Walau bagaimanapun, dia menyerahkan soal rezeki dan perancangan itu kepada ketentuan Ilahi. Tambahnya, keputusan tersebut bukan disebabkan ‘haters’ atau kontroversi yang melanda dirinya sepanjang menjadi anak seni sebaliknya, niat tersebut muncul selepas mengimbas semula hasil usahanya sepanjang membintangi 60 buah filem.
Sumber: Farid Kamil